Sunday, January 24, 2010

KENYATAAN AKHBAR PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL (PTPTN)

Terlebih dahulu pihak PTPTN ingin mengucapkan terima kasih diatas komen yang diberikan oleh Saudara Adib Anas kerana secara tidak langsung memberikan peluang kepada kami untuk mengetahui dilemma peminjam PTPTN. Kami mengakui bahawa PTPTN masih belum mencapai tahap yang boleh dianggap sebagai satu organisasi yang sempurna atau “perfect”. Lantaran itu, PTPTN sentiasa berusaha mencari jalan pada setiap masa untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

· Kes 1: Permohonan Pinjaman

Fungsi yang dijalankan oleh PTPTN bukanlah satu perkara baru. Ianya merupakan alternatif kepada fungsi beberapa agensi kerajaan yang telah lama wujud sebelum adanya PTPTN seperti JPA, Mara, Badan-Badan Yayasan dan lain-lain. Oleh itu tatacara kerja dan perundangan yang digunapakai oleh PTPTN juga mengambil kira amalan organisasi berkenaan. Walaupun kelulusan permohonan pinjaman dilihat mudah, tetapi ianya masih tetap mengambilkira syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pemohon dan kelulusan hanya diberikan kepada pelajar yang benar-benar layak sahaja.

Seperti agensi lain, urusan yang berkaitan kewangan sama ada pinjaman mahu pun biasiswa melibatkan dokumen perjanjian yang perlu ditandatangani oleh semua pihak yang berkaitan. Dokumen perjanjian yang disediakan mengandungi terma-terma yang lazim digunakan serta mematuhi kehendak perundangan. Had umur yang dibenarkan juga diambil kira bagi memastikan mereka ini mempunyai kapasiti untuk menandatangani perjanjian. Tahap kefahaman oleh mereka yang berumur belasan tahun dari latar belakang yang berbeza, tidak sewajarnya dijadikan isu kerana mereka ini merupakan individu yang akan melangkah ke menara gading. Dari itu adalah tidak sepatutnya kita mempersoalkan tahap kebijaksanaan dan kematangan mereka ini.

Mengurangkan kerenah birokrasi dalam menjalankan tanggungjawab merupakan salah satu misi PTPTN. Pada masa yang sama, di dalam keghairahan menangani kerenah birokrasi PTPTN perlu juga menjaga kepentingan matlamat kewujudan PTPTN itu sendiri. Adakah wajar pendekatan memudahkan proses kelulusan yang dilaksanakan serta kerenah birokrasi yang diambil oleh PTPTN dianggap sebagai satu ketempangan?

· Kes 2: Akaun pinjaman berbeza

Pertama, kewujudan PTPTN adalah bagi memastikan tiada pelajar yang terhalang untuk melanjutkan pelajaran di IPT kerana kekurangan punca kewangan. Atas dasar ini pelajar dibenarkan memohon pinjaman untuk membiayai pengajian mereka di peringkat Diploma hingga peringkat Phd. Pinjaman yang berterusan tentu sekali menjadikan jumlah pinjaman akan meningkat. Dari itu, peminjam perlu teliti di dalam membuat pillihan bidang pengajian serta IPT yang ditawarkan kerana ianya mempunyai kaitan rapat dengan jumlah pinjaman yang diperlukan serta peluang pekerjaan selepas tamat pengajian kelak. Pada masa yang sama, peminjam perlu menguruskan setiap ringgit yang dipinjam dengan bijak, supaya ianya tidak membebankan mereka di kemudian hari. Dari itu beban pinjaman sebelum melangkah ke alam pekerjaan adalah diluar bidang kuasa PTPTN.

Kedua, setiap kelulusan pinjaman yang dibuat mempunyai kaitan dengan peringkat pengajian, amaun pinjaman serta jangkamasa pinjaman dengan terma-terma yang berlainan. Dari itu penyatuan akaun berkenaan tidak boleh sewenang-wenangnya disatukan semata-mata atas dasar nama dan nombor kad pengenalan yang sama kerana ianya mempunyai implikasi perundangan di masa akan datang.

Ketiga, faedah (terma yang digunakan oleh pengadu) yang dikenakan, adalah ke atas baki pinjaman berkurangan pada setiap bulan. Dari itu, penyatuan akaun sama sekali tidak membezakan pengiraan faedah yang dikenakan atau boleh mengurangkan bebanan faedah sebagaimana yang disangkakan oleh penulis.

· Kes 3: Kecuaian dan sambil lewa.

Kecuaian dan sikap sambil lewa bukan budaya yang mahu ditonjolkan oleh PTPTN. Setiap tindakan yang dibuat berdasar proses kerja yang selari dengan tuntutan undang-undang. Amatlah dialu-alukan sekiranya penulis dapat mengemukakan dokumen serta kes-kes yang berkaitan bagi membantu PTPTN membuat siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mana-mana pihak yang telibat.

· Kes 4: Mahkamah dan senarai hitam imigresen.

Tindakan mengheret peminjam ke mahkamah bukanlah satu tindakan yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya mengikut perasaan hati tanpa mematuhi lunas-lunas perundangan. PTPTN perlu mengemukakan dokumen serta fakta yang betul sebelum sebarang keputusan boleh dibuat oleh Mahkamah. Tindakan yang sedemikian diambil selepas semua peringatan dan amaran yang dikeluarkan tidak diendahkan oleh peminjam dengan alasan tidak menerima surat berkenaan. Kebanyakan mereka ini telah pun ”menghilangkan diri” tanpa berita, jauh sekali membuat bayaran balik, tidak kurang dari lima tahun selepas mereka bergelar graduan.

Perlu ditekankan disini, apabila sampai ke tahap tindakan mahkamah diambil, maka peminjam sudah dikategorikan sebagai melanggar syarat perjanjian asal. Dengan itu terbatallah kemudahan perjanjian yang dibuat sebelumnya dan kesemua baki pinjaman perlu dilunaskan dengan serta merta. Pada masa yang sama nama mereka ini disenarai hitamkan. Faktor seperti status pekerjaan, pendapatan, amaun pinjaman, serta keupayaan membayar balik diambil kira dan peminjam perlu memberikan bukti yang kukuh sebelum sebarang kelonggaran bayaran balik diberikan.

Bagaimanakah masa depan PTPTN sekiranya peminjam dibenarkan sewenang-wenangnya menentukan jumlah bayaran balik pinjaman PTPTN sedangkan pada masa yang sama mereka ini berkemampuan menjelaskan pinjaman perumahan, kereta, persendirian, melancong, kad kredit, menunaikan Umrah dan Haji. Sama-sama lah kita fikirkan.

Setiap peminjam semestinya sedia maklum tentang pinjaman yang diperolehi dan perlu berusaha menyempurnakan tanggungjawab melunaskan pinjaman dan bukan dengan cara mendiamkan diri kerana terma serta syarat pinjaman telah pun dinyatakan didalam perjanjian yang ditandatangani. Pada ketika ini peminjam sudah pun bergelar graduan dan isu kefahaman tidak boleh dibangkitkan lagi. Ketegasan PTPTN hanyalah semata-mata ingin menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan bagi menjaga kepentingan bukan hanya generasi semasa tapi juga yang akan datang. Kami juga perlu bertanggungjawab kepada peminjam yang begitu tekun melunaskan pinjaman.

Sekiranya nama peminjam tegar ini tidak disenarai hitamkan serta larangan perjalanan keluar negara tidak dilaksanakan akan ramailah peminjam yang sengaja melupakan tanggungjawabnya. Mereka hanya muncul selepas gagal berangkat keluar negara. Adakah mereka sememangnya tidak berkemampuan?. Sama-samalah kita mencari jawapannya. ”Penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman (Riwayat Al-Bukhari). Sekiranya peminjam gagal membayar balik pinjaman atas alasan yang kukuh, PTPTN dengan hati terbuka akan cuba membantu mencari jalan penyelesaian.

Akhir sekali, kami ingin mencadangkan perjumpaan bersama Saudara Adib, supaya kita bersama dapat melihat persoalan yang dibangkitkan dari perspektif yang lebih luas, agar rumusan yang dibuat lebih seimbang.

Terima kasih.

YUNOS ABD GHANI

Ketua Eksekutif PTPTN

21 Januari 2010


Monday, January 11, 2010

MINDA (Harian Metro) : DILEMA PEMINJAM PTPTN


Adib Anas. (2010, 11 Januari). Minda : Dilema Peminjam PTPTN. Harian Metro.