Saturday, April 25, 2009

DAFTARLAH SEBAGAI PEMILIH : ANDA PENENTU MASA DEPAN NEGARA

Hari ini (Sabtu, 25 April 2009), saya menghabiskan masa hujung minggu dengan bersiar-siar di One Utama, Bandar Utama. Ini adalah kegiatan rutin yang saya lakukan apabila tiba hujung minggu. Sekiranya tiada apa-apa kerja atau program penting, One Utama adalah tempat saya untuk 'melepak' mahupun membeli-belah.

Sewaktu berjalan menuju ke New Wing, terlihat kaunter yang di buka oleh SPR bagi membolehkan warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas mendaftar sebagai pengundi. Inisiatif yang diambil oleh SPR dengan membuka kaunter daftar mengundi di pusat membeli-belah adalah suatu yang harus dipuji. SPR mengeluarkan jumlah statistik rakyat Malaysia yang belum mendaftar sebagai pemilih. 3 juta adalah angka yang amat besar.

Lihat ramai yang mendaftar sebagai pengundi. Dari golongan muda hinggalah golongan tua. Rupa-rupanya ramai di antara yang mendaftar sebagai pemilih berusia dalam lingkungan 28 tahun ke atas dan sudah berkeluarga.

Kekesalan yang timbul ialah apabila kurangnya umat Melayu yang beratur untuk mendaftar. Terlintas di dalam hati, adakah semua umat Melayu yang hadir ke One Utama hari ini sudah mendaftar sebagai pemilih? Orang Melayu kita hanya berhenti melihat dan kemudian sambung perjalanan. Muda-mudi Melayu pula berjalan berpasangan dan berpeleseran. Mereka tak endah pun. Tetapi, ramai kaum lain yang membuat semakan, mendaftar dan seterusnya membuat penukaran alamat lama kepada alamat baru. Agak lama juga saya perhatikan kaunter SPR itu.

Setelah melihat senario begini, saya cuba mengimbau PRU-12. UMNO hilang banyak sokongan. Pengundi kaum Cina dan India mengalih undi daripada BN kepada parti pembangkang. Begitu juga dengan sesetengah Melayu yang berbuat begitu. Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP. Pertambahan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari kalangan yang bukan Melayu turut bertambah. DAP menang banyak kerusi, PKR turut menambah bilangan kerusi. Di mana kerusi Melayu? Walaupun ada, cukup kuatkah kita? Kerusi Melayu terpisah kerana berbeza idealogi politik.

Melayu perlu ingat bahawa untuk terus berkuasa, Melayu perlu mendapat sokongan semua pihak termasuk kaum sendiri. Sekiranya Melayu kurang, bagaimana Melayu nak menambah kuantiti Melayu sebagai pemimpin rakyat.

Perlu ingat bahawa kaum lain sedang berlumba-lumba untuk mencapai sesuatu yang Melayu lupa. Sekali undi mereka tidak berpihak kepada mana-mana Melayu, di mana Melayu ketika itu? Jawapannya Melayu ramai. Tapi, ramai Melayu yang tidak menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih. Ramai Melayu tak mendaftar sebagai pemilih. Jadi, macam mana Melayu nak menang dalam pilihanraya.

Biarpun komen ini berbaur sensitif, saya hanya bertujuan untuk menyedarkan bangsa saya yang belum mendaftar mengundi untuk mendaftar sebagai pemilih. Dengan harapan supaya ke depan nanti kita tidak jadi ralat atau menyesal. Cukuplah dengan apa yang terjadi di Pulau Pinang.

ANDA PENENTU MASA DEPAN NEGARA

Wednesday, April 22, 2009

HMMM... : SHHH...DIA DATANG, BILALAH NAK DATANG...???

Haaaa...Ini pula ada poster filem shhh...Dia Datang. Filem pertama arahan Saiful @ Apek.

Ramai artis-artis yang terlibat dalam filem ini. Antaranya ialah :

Saiful @ Apek
Aaron Aziz
Shukrie Hashim
Jalil Hamid
Dato' Jalalludin Hassan
Kuna
Zami Ismail
Imuda
Ahmad Busu
Khatijah Tan
Amy Mastura
Azwan Haji Ali
Kathy Fudziah, Airis Yasmin dan ramai lagi...Angah & Along Raja Lawak, Accapan, Rama, Avaa Vanja, Din Beramboi, Kuman, Rosnah Mat Aris, Rina Adenan, Norliana Shamsudin, Adzrin Dato' Azdhar dan Yasin.

Hmmm...khabarnya filem ini akan mula ditayangkan pada bulan March lepas. Tetapi sehingga sekarang belum dapat apa-apa berita mengenai tarikh tayangan.

Hmmm...sama-sama kita tunggu kemunculannya.

HMMM... : KANTOI...KANTOI

Entah bila agaknya filem Kantoi ni nak keluar ya? Tunggu punya tunggu, dah masuk setahun dah filem tenggelam dari arus publisiti dan promosi. Senyap tiba-tiba...Kenapa ya???...hmmm

Jadi kepada peminat-peminat filem Melayu, sabarlah menunggu yer...

Yang lain banyakkan berdoa...mudah-mudahan segala dipercepatkan dengan mudah.

Poster ni adalah first design masa launching. Rita Rudaini digantikan dengan Rozita Che Wan. Hmmm...Kenapa ya?

Banyak juga persoalan ya...hmmm???

Monday, April 20, 2009

LAYAN : SEGALANYA TELAH...

Cinta,
Telah kumiliki...
Sayang,
Telah kutemui...
Rindu,
Telah kurasai...

Pahit,
Telah kutelani...
Manis,
Telah kukecapi...
Pedihnya,
Kurasa lagi...

Walau suka dalam duka...
Walau duka dalam suka...
Memori,
Tak bisa luput...
Kenangan sentiasa terpahat...
Segalanya telah kuharungi.



.


Saturday, April 18, 2009

ANTARA HAK MELAYU DAN BUMIPUTERA DENGAN PERJUANGAN PERIBADI ANWAR IBRAHIM

Anwar Ibrahim bukannlah calon yang sesuai untuk memimpin negara pada ketika ini kerana Anwar Ibrahim adalah boneka yang diperan oleh bakal-bakal penjajah. Anwar Ibrahim memang petah berkata-kata. Kepetahan berucap dengan bekerja adalah tidak sama. Memang mudah untuk melafazkan sesuatu yang indah dan manis kepada rakyat agar rakyat dibuai mimpi indah.

Anwar Ibrahim banyak memperjudikan hak-hak Bumiputra semata-mata untuk medapatkan apa yang diinginkan. Adakah Anwar Ibrahim telah terlupa bagaimana sejarah kemerdekaan Malaysia. Malaysia merdeka atas persetujuan tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Mereka turut memperakui dan bersetuju dengan hak Melayu dan Bumiputera pada waktu mencapai kemerdekaan. Kini, mereka semua adalah rakyat Malaysia. Setelah 51 tahun Merdeka kenapa mereka masih pertikai dan menuntut hak Melayu dan Bumiputera sedangkan mereka berjanji tidak akan menyentuh soal-soal yang berkaitan dengan Keistimewaan Orang Melayu.

Pertikaian ini bukan hanya dituntut oleh Cina dan India malahan Melayu yang pentingkan perjuangan peribadi turut mengiakan apa yang dituntut oleh mereka itu. Akta 153 relevan selamanya dan jangan bermain api dengan isu ini. Kalau mereka sensitif dengan isu perkauman yang melibatkan kaum mereka, jangan sesekali menjolok sarang tebuan dan mempertikaikan apa yang telah termaktub.

Keputusan kemenangan Anwar Ibrahim amat membimbangkan memandangkan perkara yang diperjuangkan oleh PKR adalah mengenai keadilan rakyat, maka ketuanan Melayu akan tercabar. Sudahlah UiTM dicadangkan untuk dibuka kepada bukan Bumiputera. Selepas ini, entah apa lagi idea bernas yang akan dicadangkan.

Projek mega kandang babi itu pun sudah menggusarkan pelbagai pihak. Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa pemimpin PKR hanya recall apa yang pemimpin BN pernah suarakan. Sedar atau tidak, setiap recall yang hendak dibuat mestilah berpihak kepada apa yang logik dan masuk akal. Salah satu recall yang telah dilaksanakan dan mengguris perasaan ialah dengan meluluskan ternakan khinzir secara besar-besaran di negeri Selangor. Adakah ini recall yang terbaik?

PKR pada dasarnya ditubuhkan adalah untuk membela Anwar seorang sahaja dan tidaklah segah keadilan yang dilaungkan. PKR hanya memperjuangkan supaya Anwar bebas dari tuduhan mahkamah. Bagaimanapun tujuan utama tidak berjaya kerana Anwar telah didapati bersalah di mahkamah dan menyebabkan Anwar ditahan.

Banyak persoalan timbul, antaranya dari manakah sumber kewangan PKR yang dilaporkan begitu banyak digunakan ketika pilihanraya kecil ini mahupun pilihanraya umum Mac lalu. Memang menghairankan parti yang hampir tekubur 5 tahun lalu boleh bersaing dari segi jumlah peruntukkan kewangan untuk berkempen mengalahkan parti kerajaan. Apa lagi yang akan berlaku selepas ini? Keadaan semakin meruncing dan merisaukan. Apakah kita memang menunggu Malaysia menjadi kacau bilau dan rakyatnya kembali hidup dalam kesengsaraan? Kenapa ada Melayu yang sanggup korbankan kepentingan hak Melayu dan Bumiputera demi perjuangan peribadi?

Apa yang berlaku di Permatang Pauh dan Merdeka ke-51, anak bangsa kita sedang membuat sejarah pada hari ini untuk menjadi pengajaran anak cucu kita masa
hadapan.

Nak marah dah letih, nak nangis air mata dah kering, nak bersuara kita bukan siapa pun. Apa yang terpenting ialah kesatuan Melayu perlu sedar dan bangun.

Bila Melayu hilang jati diri seorang Melayu…
lupa asal usul
lupa tanah tumpah darah
lupa akal budi
lupa jasa hati
hancur akan menyusul.

Bila Melayu tidak ingin memepertahankan hak sendiri
kata inginkan reformasi
rupanya menjerumus diri ke dalam api
menghancurkan tanah bumi sendiri bila kononnya hak saksama diperjuangkan.

Ketuanan Melayu tidak diinginkan
politik perkauman harus dipinggirkan
Siapa yang menghamburkan kata-kata perkauman?
Melalak dijalanan kononnya "Kami tidak diutamakan"?

Kami Orang Melayu
memang hak kami untuk bertuan di bumi ini !
Fikirkanlah siapa kami
kenapa kami harus terus ‘bertuan’ di bumi ini
kenapa kami harus diutamakan.

Bila United Malays National Organization dilupakan
UMNO jasanya dinafikan.

Sedarlah !

Merdekanya Melayu kerana UMNO
Bertuannya Melayu kerana UMNO
Berjayanya Melayu kerana UMNO

Adakah kita ingin kembali dijajah
merempat di bumi sendiri
dimainkan oleh sang ‘Kaca Mata’ besi
yang selalu melaungkan kata-kata demokrasi
rupanya sang "power obsession"
yang terangan mementing diri.

Melayu perlu bangun
tidak merempat memohon simpati
di tanah air sendiri
dan hilang harga diri.

Sedih bila Melayu mula hilang jati diri
termakan janji dibawah telunjuk sang ‘Kaca Mata’ besi.

Bangkitlah Melayu
Demi Agama…Bangsa…Negara

Sukalah saya dengan ini memaparkan semula sumpah Melayu sebagai mengenang jasa Dato’ Onn sebagai pemimpin UMNO yang berjaya menyatukan umat MELAYU BERSATU. Mudah-mudahan kita semua memperingati Sumpah Melayu ini dan bangkit berjuang semula atas kebenaran demi AGAMA ISLAM, BANGSA MELAYU, NEGARA MALAYSA.

Termaktub
di Batu Pahat pada 8 Rabi’tul awal 1365 hb bersamaan 10 Februari 1946 Masihi..

Kami
umat Melayu beragama Islam pada hari ini berjanji tidak akan berhasad dengki,
khianat dan iri hati, bertelagah dan berbalah sesama sendiri.

Kami berjanji
akan bersatu padu dan patuh menegakkan agama Islam.

Kami juga akan bekerja kuat
untuk menyara diri dan keluarga kami.

Kami
bersedia bersaing sesama umat Melayu dan kaum-kaum lain dengan jujur dan
terhormat

Kami
umat Melayu, Islam bersumpah setia untuk :

Mempertahankan
kepentingan dan hak Melayu

Mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu
Memperjuangkan iktisad dan pelajaran bangsa Melayu
Mempertahankan maruah negara supaya aman sejahtera

Hak Keistimewaan Melayu dan Bumiputera bukan batu penghalang untuk melihat Melayu maju tetapi hak keistimewaan ini adalah penting bagi menjamin ‘tuan yang sebenar’ untuk tanahnya sendiri. Melayu kini, ramai cerdik pandai tetapi dalam kecerdikan itu ada segelintir Melayu yang masih buta hati, tidak pandai berpolitik serta sanggup menggadaikan hak kepentingan bangsa sendiri dengan menunjukkan segala kelemahan dan kebodohan sendiri kepada orang lain. Ibarat nyamuk seekor, kelambu dibakar.

Tulisan ini adalah himpunan daripada pendapat umum melalui www.chedet.com yang telah disunting oleh saya. 2 September 2008.

PILIHAN RAYA KECIL PERMATANG PAUH P44 : APA ADA DENGAN ANWAR IBRAHIM

Umum telah ketahui bahawa calon PKR, Anwar Ibrahim (Datuk Seri) telah memenangi Pilihanraya Kecil Permatang Pauh P44 dengan beroleh majoriti sebanyak 15,671 undi. Rupa-rupanya rakyat masih mahukan Anwar Ibrahim meneraju Permatang Pauh seperti sebelumnya, sehinggakan sanggup menolak calon yang mewakili UMNO dalam BN iaitu YB Datuk Arif Shah yang juga merupakan ADUN Seberang Jaya. Perasaan kecewa yang teramat dirasai oleh ahli-ahli BN terutamanya ahli-ahli UMNO yang berkerja keras siang dan malam dalam memastikan jentera BN beroleh kejayaan. Tetapi, malangnya usaha itu ditolak oleh para pengundi yang majoritinya adalah dikalangan bangsa Melayu. Di mana Melayu ketika ini? Tidak serikkah Melayu Permatang Pauh apabila berada dibawah tapak kaki Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP selepas pilihanraya yang lalu? Inilah yang dikesalkan. Saat negara tercinta akan menyambut Hari Kebangsaan Yang Ke 51, majoriti Melayu Permatang Pauh seolah-olah belum mahu Merdeka dan mahukan penindasan yang berterusan berlaku ke atas bangsa Melayu.

Dengan kemenangan PKR pada malam 26 Ogos 2008 sudah cukup bagi majoriti Melayu Permatang Pauh berpesta sepanjang malam. Ibarat "menang sorak, kampung tergadai", begitulah ungkapan yang sesuai diungkapkan buat penyokong-penyokong PKR. Semangat juang untuk bangsa Melayu telah luntur, ketuanan Melayu tidak terbela dan peradaban Melayu dipersenda oleh kalangan Melayu Permatang Pauh yang mengundi PKR.

Penyokong dan pengundi PKR perlu ingat bahawa PKR bukanlah sebuah parti Melayu yang boleh membela dan berjuang untuk bangsa Melayu. PKR adalah parti campuran antara Melayu, Cina dan India. Ketiga-tiga bangsa ini sebumbung dan sudah pasti memperjuangkan hak kesamaan antara kaum bagi mendapat kata sepakat dalam politik yang diperan oleh Anwar Ibrahim bagi memastikan misinya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia tercapai. Perjuangan yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim adalah perjuangan bersifat peribadi, bermotifkan dendam. Demi memastikan rakyat menyokong penuh kepadanya, Anwar Ibrahim sanggup menggadaikan apa sahaja termasuklah keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Perjuangan Anwar Ibrahim bukan perjuangan untuk anak-anak bangsa tetapi perjuangan Anwar Ibrahim adalah perjuangan memecah belahkan umat Melayu yang beragama Islam semata-mata untuk kecapi impian untuk menjadi Perdana Menteri. Di dalam parti yang ditubuhkan oleh isterinya pada tahun 1999, jelas menunjukkan bahawa keterbukaan parti tersebut menerima semua bangsa dibawah satu bumbung tanpa ada sebarang parti komponen dibawahnya yang mewakili bangsa sesuatu kaum.

Jadi, apa bezanya PKR dengan DAP? Cuma PAS sahaja yang diwakili oleh Melayu. PKR dan DAP bersengkol dalam membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menolak calon PAS sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sedangkan berbanding dengan calon PKR, calon PAS dari ADUN Permatang Pasir dilihat lebih layak untuk menduduki kerusi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mempunyai dua kerusi untuk jawatan itu.

Penyokong dan pengundi belum sedar akan perkara yang telah berlaku ini. Walaupun BN ditolak di Pulau Pinang, rata-rata penyokong atau pengundi Melayu yang lain lebih berharap kepada PAS kerana masih ada Melayu walaupun ianya pembangkang. Senario ini belum dilihat dengan jelas oleh penyokong atau pengundi fanatik di Permatang Pauh. PAS juga adalah salah satu parti di dalam Pakatan Rakyat tetapi kenapa tiada kerusi TKM Pulau Pinang untuknya. Inilah persoalan yang membelenggu difikiran.

Melalui Pilihanraya Kecil Permatang Pauh P44, banyak persoalan yang timbul. Antaranya ialah :

1. Kenapa Anwar Ibrahim begitu taksub atau ‘tergila-gila’ untuk menjadi Perdana Menteri?

2. Siapakah penaja untuk PKR sewaktu kempen pilihanraya berlangsung? Apakah dasar perjuangan untuk bangsa Melayu di mata PKR? Dari mana datangnya wang saguhati PKR untuk penyokong atau pengikut-pengikutnya yang berkerja sewaktu kempen dan pilihanraya? SPR dikalangan pembangkang? Adakah wang ini datangnya dari AS atau petualang-petualang lain? Sekiranya wang Anwar Ibrahim, tak kan Anwar sebegitu kaya? Adakah rasuah diamal olehnya sewaktu dia dalam BN?

3. Sejauhmana perjuangan Anwar Ibrahim untuk bangsa Melayu? PKR parti campuran, tidak mungkin hak dan keistimewaan Melayu dibincangkan.

4. Kenapa Anwar mengelak daripada mengangkat sumpah berikutan kes liwatnya?

5. Dimanakah semangat juang remaja dan kanak-kanak Melayu apabila sanggup mengibar bendera-bendera DAP? Sedangkan DAP amat anti-Melayu dan mahukan keistimewaan Melayu dibahagi sama rata dengan mereka di samping menolak Islam sebagai agama rasmi negara.

6. Dalam kerajaan yang akan dibentuk oleh Anwar Ibrahim pada 16 Sepetember 2008, TPM nya adalah dari DAP. Apa akan terjadi sekiranya hayat Anwar tidak panjang? Siapakah yang akan teraju negara?

7. Anwar mendakwa 30 Ahli Parlimen BN akan lompat parti. Tidakkah Anwar terfikir, bagaimana pula sekiranya Ahli Parlimen PKR dari kaum Cina dan India lompat parti dan masuk DAP? Berapa kerat Melayu yang akan tinggal dalam PKR?

Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, Melayu akan ternganga dan akhirnya merintih di tanah tumpah darah sendiri. Untuk Anwar Ibrahim, jangan sampai saudara digelar ‘Pengkhianat Bangsa’ atau ‘Tali Barut’ suatu hari nanti. Kepada semua pembaca blogs ini, renung-renungkan dan fikir-fikirkan perkara ini dan hayatilah bibit-bibit lirik ini :

Anak Kecil Main Api
Terbakar Hatinya Yang Sepi
Airmata Darah Bercampur Keringat
Bumi Dipijak Milik Orang

Nenek Moyang Kaya Raya
Tergadai Seluruh Harta Benda
Akibat Sengketa Sesamalah Kita
Cinta Lenyap Di Arus Zaman

Indahnya Bumi Kita Ini
Warisan Berkurun Lamanya
Hasil Mengalir Ke Tangan Yang Lain
Pribumi Merintih Sendiri

Masa Depan Sungguh Kelam
Kan Lenyap
Peristiwa Semalam
Tertutuplah Hati Terkunci Mati
Maruah Peribadi Dah Hilang

Kini Kita Cuma Tinggal Kuasa
Yang Akan Menentukan Bangsa
Bersatulah Hati Bersama Berbakti
Pulih Kembali Harga Diri

Kita Sudah Tiada Masa Majulah Dengan Gagah Perkasa
Jangan Lalai Teruskan Usaha
Melayu

Kan
Gagah Di Nusantara (3x)

Adakah ini kesudahan kita?



Khamis, 28 Ogos 2008.

PERALIHAN KUASA & RAMPASAN KUASA

Hasrat Yang Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohammad mahu menyertai semula UMNO amatlah dinanti. Pengumuman telah pun dibuat oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau mengadakan pertemuan dengan Yang Berbahagia Tun. Alhamdulillah, akhirnya terbuka juga hati Yang Berbahagia Tun untuk kembali kepangkuan UMNO setelah beliau sendiri membuat pengakuan keluar dari UMNO sejak lewat Mei yang lepas.

Ekoran kritikan terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak langsung telah membuat kenyataan bahawa peralihan kuasa yang akan dilakukan pada tahun 2010 hendaklah dipercepatkan kerana tempoh yang diberikan agak lama bagi menjalani proses pemulihan dalam UMNO dan juga BN. Kenyataan daripada pihak menteri sebagaimana yang disuarakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat dan juga ahli-ahli UMNO.

Selama ini menteri-menteri teragak-agak untuk memberikan komen apatah lagi untuk mengkritik secara terang-terangan. Kini setelah kenyataan ini dibuat, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai seorang yang berani berhadapan dengan risiko kerana kelantangan beliau. YAB PM seharusnya mengambil kira soal kritikan terhadap kepimpinannya. Rakyat bukan menolak YAB PM dengan suka-suka tetapi rakyat amat prihatin terhadap masa depan Malaysia. YAB PM berjaya untuk penggal pertama menjadi PM, tetapi terdapat rekahan yang agak mendadak pada penggal kedua. Ini bukan soal ‘gila kuasa’ para menteri yang berkebolehan untuk naik ke atas, tetapi untuk mengelakan daripada perkara-perkara berbangkit terus menerus menyelubungi fikiran rakyat yang masih tiada noktah. Peralihan kuasa secara aman dan dipersetujui oleh semua pihak amat elok dipercepatkan, disamping pemulihan segala kelemahan dapat diatasi dengan cara yang profesional.

Saya masih tidak faham kenapa rakyat sekarang terutamanya ahli UMNO-BN sudah tidak berminat dengan parti ini. UMNO bukan parti lapok atau outdated tetapi UMNO adalah parti untuk bangsa Melayu di mana segala hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam akan sentiasa dipertahankan untuk selama-lamanya. Bukan soal sudah muak dengan parti yang hanya merujuk kepada satu kaum, perkara ini hanya mainan politik Pakatan Rakyat dalam usaha membolehkan Anwar Ibrahim memenangi pilihanraya. Sedar atau tidak, PAS dan PKR adalah parti serpihan yang ditubuhkan oleh anggota atau ahli yang pernah menganggotai UMNO suatu ketika dahulu. Mereka adalah orang-orang yang kecewa kerana gagal memperoleh tempat atau jawatan yang diingini lalu menubuhkan parti bagi menunjukkan rasa protes.

Berkenaan dengan 16 September 2008 sebagaimana yang dicanang oleh Anwar Ibrahim sebagai tarikh di mana Pakatan Rakyat (PR) menuju ke Putrajaya, bagi saya ianya adalah satu dogengan politik bagi meraih simpati majoriti rakyat yang lain untuk beroleh kepercayaan, kemenangan dan menunjuk kekuasaan. Sehingga sekarang tidak ada Ahli Parlimen BN melompat parti. Kronologi PR dalam merampas kuasa sedia ada juga tidak terjadi. Malahan kini, telah keluar kenyataan daripada pemimpin PR yang menyatakan bahawa misi 16 September mungkin akan lewat sedikit ekoran daripada Ahli-Ahli Parlimen BN sedang mengikuti lawatan sambil belajar di luar negara. Pada saya, ini semua adalah tipu dan helah semata-mata. Apabila keriakkan menguasai diri maka inilah yang berlaku. Rakyat ditipu hidup-hidup oleh golongan yang sentiasa ‘gila kuasa’. Sekiranya apa yang dicanangkan ini benar-benar terjadi, saya tidak mengklasifikasikannya sebagai peralihan kuasa kepada kerajaan baru tetapi saya mengklasifikasikan perkara ini sebagai ‘rampasan kuasa’ yang sememangnya tidak adil untuk semua rakyat Malaysia. Seandainya berlaku, situasi ini saya ibaratkan kerajaan baru impian PR ini sebagai ‘lanun’ atau ‘mafia’ yang merampas hak kesemua rakyat Malaysia yang majorotinya telah menyokong BN sebagai kerajaan pimpinan untuk semua. Sekiranya perkara ini berlaku, sudah pasti PR akan memperalatkan pemimpin-pemimpin BN dengan sogokan wang yang berjuta-juta. Persoalannya dari mana sumber kewangan itu diperolehi oleh PR? PR mendakwa kerajaan sekarang kerajaan yang penuh dengan rasuah, tetapi perbuatan membida ini bukankah sama seperti rasuah?

Malaysia adalah negara yang mempunyai Rang Undang-undang yang kukuh selama ini. Sekiranya benar, perkara sebegini hanya akan wujud setelah pilihanraya yang sah diadakan di seluruh negara. Bukan dengan cara merampas, tetapi dengan cara yang lebih hormat atas dasar kepercayaan.

Bagi isu perkauman yang timbul sejak akhir-akhir ini, saya melihat bahawa isu ini adalah mainan sesetengah pihak sewaktu berkempen dan liputan yang songsang dimain pula oleh media untuk mencetuskan kontroversi disamping menarik pelanggan untuk membeli tulisan yang dicetak itu. Sebelum ini, jarang sekali isu-isu perkauman dimainkan oleh pihak-pihak tertentu. Cuma apabila seseorang itu ‘gila kuasa’ maka semua isu ini diangkat secara besar-besaran dan menyebabkan perpecahan sesama kaum dan juga parti.

BN telah memimpin Malaysia pada tahap di mana kita berada. Harga petrol dan barangan bukanlah isunya. Perkembangan ekonomi dari masa ke semasa memberi impak terhadap kenaikan ini. Jika tidak berlaku sekarang, mungkin satu tahun, dua tahun, sepuluh tahun atau 20 tahun akan datang tetap akan berlaku perubahan ini. Harga petrol dan barangan 20 tahun dulu tidak akan sama dengan hari ini. Harga pada hari ini pula tidak akan sama dengan 10 tahun atau 20 tahun akan datang. Semuanya akan berubah dari masa ke semasa mengikut peredaran masa. Segala kenaikan harga ini bukan penyebab atau punca kepada perbalahan antara kaum. Punca yang sebenarnya ialah apabila seseorang ‘gila kuasa’ maka segala-gala hak hendak dikongsi bersama walaupun perjanjian antara kaum telah termaktub lagi sejak negara hendak mencapai kemerdekaan. Kaum mana selain bangsa Melayu yang tidak mahu akan hak kesamarataan, mereka sudah pasti mahukan hak ini dikongsi. PKR hanya ‘gula-gulakan’ isu ini kerana mahu menarik sokongan. Percayalah ramai yang akan terpedaya dan ditipu dengan isu-isu sebegini. Malahan perkara mengenai isu perkauman ini akan jadi lebih buruk dari apa yang kita hadapi kini.

Segala apa yang berlaku tetap ada hikmahnya kepada semua. Ada positif dan negatifnya terhadap segala kejadian. Dan setiap masalah yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga masalah yang dihadapi oleh UMNO-BN, semuanya akan ditangani dengan lebih berhemah dan memuaskan hati semua pihak. Cuma kepada yang masih tidak puas hati dan ‘gila kuasa’ sahaja yang akan terus menerus memecah belahkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Harap golongan cerdik pandai dapat menganalisa bagi mendapatkan hasil bukannya dengan merosakkan hasil dalam mencapai matlamat yang belum pasti. Fikirlah mengenai agama, bangsa dan negara dan bukannya soal peribadi yang hanya menguntungkan individu tertentu, yang mana individu itu sentiasa mempunyai perasaan dendam dan mahu melihat rakyat sesama agama dan bangsa bertelagah bagi mencapai impian yang belum pasti. He is not a God to creat everything.


12 September 2008