Wednesday, December 30, 2009

PTPTN & DILEMA PEMINJAM

Pendahuluan
Keperihatinan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi pinjaman pendidikan kepada orang ramai amat dipuji. Dengan pinjaman pendidikan ini, pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan dari segi kewangan akan memperoleh bantuan pinjaman pendidikan bagi merealisasikan impian dan cita-cita dengan melanjutkan pengajian di IPTA mahupun IPTS. Kini, PTPTN telah meluluskan pinjaman pendidikan berjumlah mungkin beratusan juta ringgit dan mungkin mencecah bilion.

Akan tetapi, terdapat beberapa perkara yang seharusnya dikaji semula secara serius oleh kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi bersama Kementerian Pendidikan kerana terdapat perkara-perkara ‘tempang’ yang mencacatkan skim pinjaman pendidikan ini dari segi undang-undang mahupun polisi-polisi yang diguna pakai atau yang telah dikuatkuasakan oleh perbadanan ini.

Kes 1 : Permohonan Pinjaman
Permohonan pinjaman pendidikan ini akan diberi kepada sesiapa yang layak meminjam. Kebiasaannya, borang permohonan pinjaman akan dijual sewaktu hari pendaftaran di universiti-universiti dan kolej-kolej serta kini telah diperkenalkan permohonan pinjaman secara on-line. Pelajar-pelajar akan mengisi borang permohonan secara serentak dan kemudiannya disaksikan oleh pegawai-pegawai dari universiti atau kolej dan pegawai-pegawai PTPTN yang akan bertindak sebagai saksi dan menandatangani borang permohonan pinjaman.

Begitu mudah permohonan pinjaman PTPTN diluluskan kepada pelajar-pelajar. Timbul persoalan, adakah pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM betul-betul faham akan kontrak pinjaman yang dipohon mereka? Tahukah mereka akan maksud kontrak? Sebagai saksi yang menurunkan tandatangan, adakah mereka benar-benar mengenali latar belakang pemohon? Rata-rata pemohon atau pelajar memohon pinjaman ini kerana mereka terdesak dan ingin melanjutkan pelajaran diperingkat yang tinggi. Tidak semua ibu bapa faham akan kontrak pinjaman kerana perbezaan latar hidup. Sememangnya majoriti ibu bapa menggalakkan anak-anak membuat pinjaman pendidikan yang disyorkan ini, tetapi adakah anak-anak yang menandatangani kontrak pinjaman pendidikan pada usia belasan tahun betul-betul faham akan perkara ini. Belum ada silibus di peringkat menengah yang menghuraikan tentang undang-undang dan kontrak dari segi pro dan kontra.

Kes 2 : Akaun Pinjaman Berbeza
Pelajar-pelajar lepasan diploma yang pernah menerima pinjaman pendidikan seterusnya diberi peluang bagi memohon pinjaman untuk pengajian peringkat ijazah sarjana muda. Malah pemohon yang pernah menerima pinjaman sewaktu diperingkat diploma dan ijazah masih lagi berpeluang memohon untuk pengajian yang seterusnya. Lama-kelamaan setelah tamat pengajian, pemohon atau pelajar lepasan diploma dan ijazah dibebani hutang pendidikan yang berjumlah puluhan ribu ringgit sebelum melangkah kaki ke alam pekerjaan.

Bukan semua pelajar-pelajar lepasan diploma dan ijazah mempunyai nasib yang sama. Ada di antara mereka yang mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian, tetapi majoritinya akan menganggur sekurang-kurangnya enam bulan atau setahun malahan mungkin lebih dari tempoh tersebut.

PTPTN pula mengasingkan akaun- akaun pinjaman mengikut peringkat pengajian. Sekiranya pemohon atau pelajar pernah menerima pinjaman untuk peringkat diploma dan ijazah, maka mereka mempunyai dua akaun iaitu akaun diploma dan akaun ijazah. Kenapa kedua-dua akaun berkenaan tidak disatukan? Sedangkan nama pemohon dan nombor kad pengenalan adalah sama. Tidakkah perkara ini menjadi bebanan sewaktu proses bayaran balik kerana bukan satu faedah bayaran yang dikenakan tetapi dua faedah bayaran yang perlu dijelaskan. Jumlah akaun peminjam pula tertakluk kepada berapa banyak pinjaman yang dipohon.

Kes 3 : Kecuaian dan Sambil Lewa
PTPTN adalah sebuah perbadanan yang besar dan mempunyai pelbagai bahagian atau sektor yang berbeza. Setiap bahagian mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Akan tetapi kepincangan dan kelalaian dalaman PTPTN telah mengakibatkan para peminjam mengalami bebanan yang tidak diduga, sedangkan kelalaian adalah di pihak PTPTN.

Sebagai contoh, pemohon yang sudah membuat surat penangguhan bayaran kerana melanjutkan pelajaran ke peringkat yang seterusnya telah menyerahkan surat itu sama ada secara pos atau serahan tangan kepada PTPTN, tetapi didakwa oleh pihak PTPTN bahawa mereka tidak pernah menerima surat penangguhan tersebut walaupun telah berkali-kali dibuat oleh peminjam. Ada peminjam yang pernah dimaklumkan oleh kakitangn PTPTN bahawa mungkin staf di kaunter penerimaan tidak menyerahkan kepada pihak atau bahagian yang sepatutnya. Peminjam seterusnya dipersalahkan kerana tidak membuat rujukan semula selepas surat penangguhan diserahkan, malah memohon bukti serahan itu dibuat sama ada secara cop rasmi mahupun tandatangan pegawai yang menerima, walaupun pemohon mengemukakan salinan surat yang pernah diserahkan kepada pihak PTPTN (cuma mereka gagal mendapatkan cop dan tandatangan pegawai PTPTN sebagai bukti serahan).

Kelemahan sistem PTPTN telah mengakibatkan peminjam menanggung beban kerana proses bayaran balik untuk peringkat diploma akan mula dikira sewaktu peminjam masih berstatus pelajar diperingkat ijazah. Bagaimana peminjam ingin membuat proses bayaran balik pinjaman sewaktu berstatus pelajar? Walaupun tanpa surat penangguhan, PTPTN sudah pasti mempunyai data penuh peminjam kerana PTPTN juga yang meluluskan pinjaman yang seterusnya. Perlu diingat bahawa dengan memasukkan nombor kad pengenalan di dalam sistem PTPTN, keseluruhan data peminjam akan dikenal pasti. Tetapi, PTPTN terus mengira permulaan bayaran balik pinjaman setelah peminjam tamat pengajian peringkat pertama.

Perkara yang sama juga turut berlaku, apabila peminjam tidak pernah menerima sebarang surat daripada PTPTN yang menyatakan untuk sekian tempoh yang ditetapkan, peminjam perlu membuat bayaran balik pinjaman. Bukan itu sahaja, malahan ada dikalangan peminjam yang tidak menerima sebarang notis mahupun surat peringatan daripada pihak PTPTN. Kemudiannya, peminjam terus dikenakan tindakan untuk hadir ke mahkamah dan juga dikenakan senarai hitam Imigresen, sedangkan sebelum ini mereka belum pernah menerima apa-apa surat melainkan surat-surat berkenaan dengan mahkamah dan senarai hitam Imigresen serta penyata tahunan.

Apabila disoal akan hal ini kepada kakitangan PTPTN, kakitangan PTPTN akan menyatakan bahawa di dalam sistem komputer mereka menunjukkan bahawa surat-surat mahupun notis-notis telah diserahkan mengikut sekian-sekian tarikh. Tetapi, mana surat-surat atau notis-notis kepada peminjam? Peminjam seterusnya akan ditanya sama ada telah bertukar alamat dan sebagainya. Bagaimana pula sekiranya alamat peminjam tidak pernah bertukar? Tiada jawapan daripada pegawai PTPTN selain berkeras-keras menyatakan bahawa surat telah diposkan ke alamat berkenaan. Mulalah segmen mencari kesalahan bermula seolah-olah peminjam menipu, mengabaikan surat-surat yang diposkan, terlupa dan sebagainya. Semuanya diletakkan ke atas bahu peminjam. Adakah adil sebegini? Peminjam berusaha datang ke pejabat PTPTN atau menelefon PTPTN untuk menyelesaikan masalah mereka dan bukannya menambah kekusutan dan kekeliruan peminjam.

Sekiranya kita pernah ‘bertandang’ di pejabat PTPTN, dilihat beberapa kaunter dibuka bagi memudahkan para pemohon atau peminjam membuat diskusi bersama pegawai atau kakitangan PTPTN mahupun membuat bayaran dan sebagainya. Malangnya hanya dua atau tiga kaunter sahaja yang dibuka malahan kadang-kala hanya satu kaunter sahaja yang beroperasi sedangkan ramai pemohon dan peminjam yang hadir. Mereka bukanlah dari Kuala Lumpur ataupun sekitar Lembah Kelang, tetapi di antara mereka ada yang datang dari Utara, Selatan mahupun Timur.

Apa yang menyedihkan ialah maklumat yang diperoleh melalui panggilan telefon yang dibuat kadang-kala berbeza dengan proses bersemuka dengan pegawai atau kakitangan PTPTN. Lagi mengundang kemarahan apabila setiap kali berurusan di kaunter, tiap kali menerima maklumat yang berbeza. Lain pegawai, lain maklumat. Siapa perlu dipersalahkan? Kadang-kala pegawai PTPTN sendiri tidak faham akan polisi dan undang-undang perbadanan mereka.

Usaha peminjam bagi melangsaikan hutang seolah-olah tidak diendahkan, jadi tidak hairanlah sekiranya ada di antara mereka yang berang lalu mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada pegawai-pegawai PTPTN.

Kes 4 : Mahkamah dan Senarai Hitam Imigresen
PTPTN telah menguatkuasakan senarai hitam Imigresen kepada peminjam-peminjam yang gagal membuat bayaran balik bagi tempoh tertentu ‘TANPA PREJUDIS’ disamping membawa peminjam-peminjam yang gagal membuat bayaran balik ke mahkamah.

Terdapat peminjam yang telah menghadirkan diri di mahkamah kerana gagal membuat bayaran balik pinjaman. Proses di mahkamah dianggap adil dan saksama. Peminjam akan disoal sama ada mengaku atau tidak bahawa mereka pernah menerima pinjaman pendidikan daripada PTPTN. Sekiranya mereka mengaku bahawa pernah menerima pinjaman pendidikan yang dinyatakan oleh Hakim, kes ditutup dan mereka diarah untuk ke PTPTN bagi berbincang akan cara penyelesaian atau proses bayaran balik pinjaman.

Akan tetapi, PTPTN masih mengekalkan nama peminjam dalam senarai hitam Imigresen sekiranya mereka gagal membuat bayaran penuh keseluruhan pinjaman. PTPTN juga akan mengekalkan nama peminjam dalam senarai hitam Imigresen walaupun peminjam mula membuat bayaran ansuran setiap bulan. Senarai hitam Imigresen ini akan kekal selagi jumlah keseluruhan pinjaman tidak selesai. Atau, peminjam boleh mengemukakan rayuan pengeluaran nama daripada senarai hitam Imigresen setelah berjaya membuat bayaran sebanyak 50%, tetapi jumlah 50% lagi hendaklah diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Apabila ditanya kepada pegawai PTPTN akan cara penyelesaian yang lain, maka dijawab tiada jalan penyelesaian dan inilah penyelesaiannya. Ada juga yang menjawab, sekiranya peminjam berkerja, sila keluarkan wang dari akaun kedua KWSP bagi kurangkan bebanan. Malah ada yang menggalakkan peminjam supaya berhutang lagi dengan menyuruh peminjam membuat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan keseluruhan pinjaman jika ingin nama dikeluarkan dari senarai hitam Imigresen.

Kes di mahkamah ditutup setelah peminjam mengaku bahawa pernah memohon dan menerima pinjaman pendidikan dari PTPTN tetapi kenapa nama peminjam masih lagi tidak dikeluarkan dari senarai hitam Imigresen? Atas alasan apa perintah senarai hitam masih dikenakan walaupun sudah hadirkan diri di mahkamah dan peminjam telah mula membuat bayaran ansuran bulanan disamping mengeluarkan sebahagian jumlah kecil dari akaun KWSP? Adakah bidang kuasa PTPTN lebih tinggi daripada mahkamah? Apa relevannya PTPTN mengarahkan peminjam hadir ke mahkamah (dengan bantuan firma guaman yang dilantik) sekiranya hukuman senarai hitam Imigresen masih lagi dikekalkan? Bagaimana pula dengan nasib peminjam yang dikenakan tindakan mahkamah dan penguatkuasaan senarai hitam Imigresen ekoran daripada kecuaian PTPTN?

Apabila disoal perkara ini di Bahagian Senarai Hitam Imigresen PTPTN, peminjam akan menerima jawapan seperti “bagaimanapun, encik atau cik perlu membuat bayaran penuh pinjaman sekiranya mahu nama di keluarkan dari senarai hitam Imigresen, ini saja jalan penyelesaiannya”.

Bagaimana dengan peminjam yang baru bekerja dan kerjayanya itu memerlukan beliau ke luar negara untuk urusan kerja? Tidakkah kerjanya terganggu? Bagaimana pula jika dibuang kerja kerana alasan ini? Bagaimana peminjam ingin teruskan membuat bayaran balik pinjaman sekiranya hilang pekerjaan? Bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan di zaman sekarang, jadi PTPTN harus kaji akan perkara ini. Adalah suatu perkara yang elok jika peminjam mula membuat bayaran balik walaupun secara ansuran daripada mereka terus kesal dan lari daripada membayar hutang pendidikan ini.

Persoalan Kepada PTPTN :
1. Adakah pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM betul-betul faham akan kontrak pinjaman yang dipohon mereka?

2. Tahukah mereka akan maksud kontrak?

3. Sebagai saksi yang menurunkan tandatangan (merujuk kepada pegawai universiti/kolej dan pegawai PTPTN), adakah mereka benar-benar mengenali latar belakang pemohon?

4. Kenapa akaun pinjaman peminjam (bagi yang menerima pinjaman lebih daripada satu peringkat) tidak disatukan?

5. Kes di mahkamah ditutup setelah peminjam mengaku bahawa pernah memohon dan menerima pinjaman pendidikan dari PTPTN tetapi kenapa nama peminjam masih lagi tidak dikeluarkan dari senarai hitam Imigresen?

6. Atas alasan apa perintah senarai hitam masih dikenakan walaupun sudah hadirkan diri di mahkamah dan peminjam telah mula membuat bayaran ansuran bulanan disamping mengeluarkan sebahagian jumlah kecil dari akaun KWSP?

7. Adakah bidang kuasa PTPTN lebih tinggi daripada mahkamah?

8. Apa relevannya PTPTN mengarahkan peminjam hadir ke mahkamah (dengan bantuan firma guaman yang dilantik) sekiranya hukuman senarai hitam Imigresen masih lagi dikekalkan?

9. Bagaimana pula dengan nasib peminjam yang dikenakan tindakan mahkamah dan penguatkuasaan senarai hitam Imigresen ekoran daripada kecuaian PTPTN?

10. Bagaimana dengan peminjam yang baru bekerja dan kerjayanya itu memerlukan beliau ke luar negara untuk urusan kerja?

11. Tidakkah kerjanya terganggu?

12. Bagaimana pula jika dibuang kerja kerana alasan ini?

13. Bagaimana peminjam ingin teruskan membuat bayaran balik pinjaman sekiranya hilang pekerjaan kerana alasan ini menjejaskan prestasi kerja?

Penutup
Keempat-empat kes yang dinyatakan ini sememangnya berlaku dalam pentadbiran PTPTN. Tidak semua peminjam ingkar terhadap bayaran balik pinjaman. Ada dikalangan mereka yang bersungguh-sungguh untuk membuat bayaran balik pinjaman, tetapi usaha mereka itu seakan-akan tidak diendahkan oleh pihak PTPTN. Malahan ada dikalangan pegawai dan kakitangan PTPTN yang melepas tangan kepada pegawai atau kakitangan PTPTN yang lain dikemuncak perbincangan.

Para peminjam yang mengharungi situasi sebegini amat keliru dan berasa kusut dengan penerangan dan penjelasan daripada pegawai mahupun kakitangan PTPTN yang sentiasa berubah-ubah disamping tiada jawapan yang fleksibel kepada para peminjam dalam usaha mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Kesilapan mungkin telah berlaku tetapi jangan terlalu memberi tekanan yang boleh melunturkan semangat peminjam bagi mengharungi kehidupan di masa hadapan.

Usaha sebelah pihak (peminjam) tidak akan membantu penyelesaian mereka sekiranya pegawai atau kakitangan PTPTN hanya sambil lewa dan melepas batuk ditangga. Jadi, saya menyeru kepada pihak kementerian dan PTPTN supaya mengkaji semula akan polisi dan undang-undang PTPTN agar ianya tidak menjadi beban dan tekanan kepada para peminjam.

"Belajar Terus Belajar"
Mohd Adib Anas Hj. Md Noor
YDP GPMS Cawangan Penanti, Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment