Tuesday, November 17, 2009

GPMS : DILEMA PENDIDIKAN BANGSA MELAYU & PEMILIHAN AHLI MAJLIS TERTINGGI

Kami pelajar melayu yang dijemput oleh Jawatankuasa Sementara GPMS untuk menghadiri Persidangan Penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1948:


SEDAR
atas perlunya disatukan tenaga sekelian pelajar-pelajar
Melayu Semenanjung Tanah Melayu.


SEDAR
akan kemunduran kami di alam pengetahuan.


SEDAR
atas kewajipan kami untuk meningkatkan darjat
pengetahuan bangsa.


SEDAR
bahawa maju-mundur kaya-miskin dan
hina-mulianya bangsa itu di tangan kami.


BERPENDAPAT bahawa GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG WAJIBLAH didirikan dengan tujuan menjaga hak-hak, mengemukakan segala permintaan dan memperbaiki keadaan pelajar-pelajar Melayu dari segenap lapisan.


Begitulah petikan "MUKADIMAH GPMS" yang seringkali diikrarkan oleh ahli-ahli GPMS. Walaupun sudah berusia lebih daripada 60 tahun, mukadimah ini masih lagi relevan sehingga sekarang.

Tujuan utama GPMS adalah untuk menaik taraf pendidikan bangsa Melayu ditahap yang lebih tinggi. Merenung kepada Mukadimah GPMS, jelas menunjukkan bahawa masalah pendidikan bangsa Melayu dari tahun 1948 hingga kini masih lagi sama. Walaupun zaman telah berubah tetapi isu pendidikan yang dialami adalah sama. Melalui mukadimah ini, secara tidak langsung ianya mengingatkan umat Melayu akan pentingnya ilmu. Tanpa ilmu, bangsa Melayu akan mundur. Tanpa ilmu, bangsa Melayu akan miskin. Secara tersiratnya, mukadimah ini juga menyeru kepada umat Melayu yang berjaya dan cemerlang, yang mempunyai pangkat dan darjat supaya untuk membantu bangsa Melayu yang lemah.

Sebagai bangsa Melayu, kita seharusnya berbangga kerana mempunyai sebuah persatuan bagi membantu anak-anak Melayu terutamanya di bidang pendidikan, akan tetapi timbul beberapa persoalan yang harus ditangani dan diperbaiki untuk masa hadapan GPMS.

Sebagai pemimpin dan ahli GPMS apakah sebenarnya yang dikejar oleh kita?Pangkat, darjat atau wang dalam memartabatkan pendidikan bangsa Melayu?

Persoalan-persoalan sebegini timbul kerana terdapat segelintir pemimpin dan ahli GPMS yang hanya menggunakan GPMS sebagai platform untuk mendapatkan kedudukan di dalam parti politik, platform untuk mendapatkan peluang perniagaan dan projek-projek kerajaan, dan platform untuk kepentingan dan keuntungan peribadi. Malahan mungkin wujud kroni-kroni atau kumpulan yang berpuak-puak dengan halatuju dengan maksud masing-masing. Bagaimana untuk disatukan tenaga sekalian pelajar-pelajar Melayu jika sikap sebegini telah menular di kalangan segelintir pemimpin dan ahli GPMS.

Kini dilihat bahawa GPMS sejak kebelakangan ini kelihatan seperti sebuah parti politik. Sikap lobi-melobi dan mungkin budaya tawar-menawar jawatan telah wujud secara diam-diam. Ditambah pula dengan hasutan dan sindiran para blogger di dalam blog mereka mahupun Facebook. Budaya apakah yang telah menular di kalangan mereka? Sedar atau tidak, bangsa Melayu sendiri yang menjatuhkan bangsanya demi kepentingan diri sendiri, lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli GPMS 100% Melayu. Apakah yang cuba ditonjolkan?

Dengan PAT 2009 yang bakal berlangsung, GPMS harus lebih agresif dari segi memilih calon. GPMS harus menubuhkan satu badan bertindak dalam mengenal pasti latar belakang calon sama ada dari segi latar akademik mahupun kerjaya. Sebagai sebuah persatuan yang bertujuan memartabatkan pendidikan bangsa Melayu, GPMS perlu memilih calon-calon yang mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi dan mempunyai kerjaya yang sah. Ini kerana sebagai sebuah pertubuhan yang berlandaskan kepada pendidikan, pemilihan pemimpin-pemimpin hendaklah dilihat dari aspek ini dan meletakkan ukuran akademik dan kerjaya sebagai kriteria utama. Secara tidak langsung, barisan kepimpinan GPMS adalah terdiri daripada para ilmuwan yang berkerjaya seterusnyanya menjadi model dan ikon kepada ahli-ahli GPMS dan pelajar-pelajar Melayu yang lain.

Semua orang boleh bercakap dengan lantang, dengan gaya bahasa yang cukup mempersona dalam memberi kata-kata semangat dan motivasi untuk pelajar-pelajar. Tapi, sejauhmanakah kebenaran kata-kata tersebut. Hanya ahli-ahli GPMS sahaja yang mengenali latar belakang ahli-ahli GPMS yang lain, pelajar-pelajar yang dimotivasi tidak sama sekali. Jadi, pilihlah calon berdasarkan kepada latar akademik, berkerjaya, komitmen yang tinggi, mempunyai misi dan misi perjuangan pendidikan umat Melayu.

GPMS telah berusia lebih daripada 60 tahun. Jadi untuk itu, peliharalah gabungan atau pertubuhan ini untuk selama-lamanya.





2 comments: