Thursday, October 7, 2010

...SATIRA : Hikayat Siamang Hitam & Serigala Putih Di Hutan Batu Panas...

Tersebutlah sebuah kisah, kisah akan sekumpulan siamang hitam di sebuah hutan batu beriklim panas yang eksklusif di pinggir sebuah kota. Eksklusifnya hutan batu ini bukanlah kerana sekumpulan siamang hitam, tetapi pengunjung hutan batu terdiri daripada mereka-mereka yang berprofil tinggi. Untung sungguh seekor demi seekor si siamang hitam ini kerana apabila hayat seseekor siamang hitam tidak lama, maka datang pula si siamang hitam lain yang meramaikan kumpulan siamang hitam yang sedia ada. Siapa bilang siamang hitam terpinggir?

Sikap si siamang hitam bermacam-macam. Ada yang lagaknya bagaikan ketua dan mengeluarkan arahan walhal dia hanya ahli biasa, ada yang berlagak seakan-akan ahli Yang Berhormat ke hulu ke hilir tanpa membuat rutin harian yang lain, yang dia tahu hanya menjual air liur yang menyembur-nyembur, terdapat juga siamang hitam yang kerap menghilangkan diri, sekejap ada sekejap tiada.

Telatah sekumpulan siamang hitam ini kadangkala menjengkelkan, adakalanya melucukan. Mereka ini bagaikan pelakon pentas opera yang memegang watak klise sepanjang hayat. Jika serigala putih muncul, maka siamang-siamang hitam ini akan berperan dengan penuh berkarektor di mana sifat-sifat rajin, bertungkus-lumus dan berwibawa dijiwai mereka. Semakin membuak-buak karektor itu dijiwai jika pada masa yang sama ketua kepada serigala-serigala putih turut berada di situ. Terkinja-kinjalah para siamang hitam apabila dipuji oleh serigala-serigala putih. Maka pada itu juga, si siamang-siamang hitam ini akan mengangkat darjat siamang-siamang hitam yang lain di hadapan puak serigala putih dengan harapan siamang hitam boleh berkumpulan pula dengan puak serigala putih.

Puak serigala putih pula bodoh sombong, hanya berlagak cerdik tetapi bodoh. Salah satu kebodohan mereka ialah mereka tinggal di hutan batu yang panas. Mana ada serigala putih mahu tinggal di hutan batu panas. Tempat asal serigala putih nun tinggi di hutan yang bergunung-ganang yang dingin cuacanya. Tetapi disebabkan kebodohan mereka di kawasan asal mereka, maka tercampaklah mereka ke mari ke kawasan hutan batu yang panas cuacanya. Tapi setelah mereka mendapat tempat yang selesa maka puak serigala putih dengan bangga mendabik dada bahawa merekalah yang paling bijaksana.

Siamang-siamang hitam dan puak serigala putih alpa, kerana penghuni hutan batu ini bukanlah mereka sahaja tetapi yang menguasai seluruh hutan batu ini adalah sekumpulan harimau. Jika harimau diam, bolehlah mereka bersenang-lenang. Tapi jika harimau-harimau ini mengaum jangan haraplah siamang-siamang hitam dan puak serigala putih ini selamat. Akan bertempiaran dan terpekik terlolonglah mereka. Sudahlah menumpang, mahu bikin kepala pula.

Siamang hitam tidak sedar bahawa serigala itu putih warnanya, siamang hitam sudah pasti hitam legam warnanya. Manalah boleh bersatu menjadi kuda belang.

Jangan sampai si belang mengaum. Kuda belang pun tak akan selamat.

Hai siamang hitam, hai serigala putih. Sedarlah diri...

No comments:

Post a Comment