Monday, June 20, 2011

...Sahabat, Kawan, Rakan, Teman...

Ingin aku kongsikan secebis rasa hati mengenai istilah "sahabat", "kawan", "rakan", "teman" dan seangkatan dengannya.

Istilah atau gelaran ini seringkali digunakan dalam pelbagai situasi bagi menunjukkan rasa hormat dan setiakawan. Antaranya :

  1. Sahabat dunia akhirat.
  2. Kawan baik.
  3. Rakan sekerja.
  4. Teman persekolahan.
  5. Kawan ketika bergembira/senang.
  6. Kawan ketika bersedih/susah.
  7. Kawan susah dan senang.
  8. Rakan serumah.
  9. Teman hidup.

Sahabat dunia akhirat, kawan baik dan kawan susah senang adalah gelaran bagi mereka yang saling mengenali hati budi masing-masing, pernah susah payah bersama dan mengharungi apa jua liku-liku kehidupan bersama sepanjang tempoh berkawan. Gelaran ini lebih kepada kehidupan berkawan yang positif disamping menyumbang segala idea / semangat yang baik bagi membentuk peribadi yang mulia serta saling bantu-membantu tanpa mengenal erti wang ringgit, penat lelah, hujan dan panas. Tiada kutuk-mengutuk, sifat hasad dengki dan iri hati dalam perhubungan ini. Mereka sangat jujur dan selesa bila bersama.

Rakan sekerja adalah rakan yang berkerja bersama di bawah satu bumbung. Tidak kira sama ada di bawah satu pengurusan atau sebaliknya. Pelbagai kerenah rakan sekerja yang ditemui. Ada di antara mereka yang saling inginkan pujian dan penghargaan. Ada juga yang memerlukan perhatian. Ada pula yang mempunyai sifat iri hati, hasad dengki dan dendam serta tidak boleh melihat rakan lain bahagia dan mengecapi kesenangan. Ada diantara rakan sekerja yang sangat jujur dalam berkawan dan sering memberi nasihat untuk kebaikkan. Tetapi ada juga yang boleh menjadi 'jarum' dalam meletuskan perbalahan dan keruntuhan seorang rakan yang lain.

Teman persekolahan akan mengimbau kita di zaman waktu bersekolah. Mulalah pelbagai cerita lucu terpancul tiap kali lepak bersama. Masing-masing akan membuka satu memori ke satu memori untuk dikongsi bersama. Teman persekolahan belum tentu pasti membahagiakan. Pelbagai reaksi berbeza jika ditanya kepada satu persatu. Teman persekolahan boleh mengundang kepada istilah sahabat dunia khirat, kawan baik, kawan susah dan senang, rakan sekerja, teman serumah dan sebagainya malah ada juga yang bakal mengundang kepada kesakitan.

Kawan ketika senang sangatlah ramai. Tetapi rakan ketika susah sangat sukar di cari. Ketika senang, kebanyakkan rakan-rakan akan muncul demi menumpang kesenangan seseorang. Rakan yang tidak pernah muncul tiba-tiba akan muncul dalam situasi yang tercipata. Apabila jatuh susah, kawan-kawan akan hilang dan tidak mahu hulurkan bantuan.

Rakan serumah adalah istilah kepada mereka yang tinggal sebumbung dan menginap di unit yang sama. Ada rakan serumah yang baik dan sering memberi dorongan dan nasihat positif kepada rakan yang lain. Ada juga yang akan memberi dorongan dan nasihat negatif kepada rakan yang lain. Baik kerana mereka serumah, tetapi hati manusia tiada siapa yang tahu. Kadang-kala ada rakan serumah yang mempunyai sifat iri hati dan menggagalkan niat rakan serumah yang lain dalam apa jua situasi bagi meregut kebahagiaan. Tapi, masih ada yang mempunyai sifat setiakawan yang kukuh dan memberi dorongan positif kepada rakan lain.

Teman hidup adalah istilah paling sejati. Apabila sudah ada perjanjian yang diikuti dengan ikatan sah, maka mereka memilih jalan terbaik untuk hidup bersama serta sanggup mengharungi apa jua halangan dan rintangan bersama. Bukan itu sahaja, segala kesenangan dan kesusahan turut dikongsi tanpa ada rasa keluh-resah. Kepercayaan antara mereka kukuh tanpa mengira soal rakan sekerja, rakan serumah dan rakan-rakan lain disekeliling. Yang penting bagi mereka adalah kebahagian yang ingin mereka kecapi bersama dan mempunyai keluarga yang bahagia. Mereka tidak akan mengambil pusing dengan apa yang akan diceritakan atau ditomahkan oleh rakan-rakan sekeliling . Teman hidup lebih menekankan atau memikirkan soal kebahagian mereka dan bukan orang lain kerana yang hendak sehidup semati adalah mereka.

Adapun pelbagai jenis rakan, kawan atau sahabat, kita perlulah pandai menyesuaikan diri. Mengelak dari rakan yang menghancurkan adalah lagi baik. Kebahagian kita bukanlah ditangan rakan, tetapi terletak ditangan kita sendiri. Rakan hanya sampaikan idea dan pandangan mereka. Mereka mungkin berjaya dengan pandangan yang mereka lontarkan tetapi berkemungkinan besar tidak sama sekali serasi dengan kita. Ramai yang mengalami kejatuhan dan kehancuran apabila menerima input bulat-bulat daripada rakan-rakan dengan idea dan pandangan yang merosakkan. Kita perlu fikir adakah pandangan mereka itu benar atau songsang. Sesuaikah dengan kita atau sebaliknya? Segala kebahagian kita bersama rakan akan tercipta bila kita pandai menyesuaikan diri dengan mereka, tapis apa yang perlu, tidak mudah berkongsikan masalah dan membuat kenyataan yang mengundang kesakitan kepada rakan yang lain. Rakan yang jujur dan ikhlas adalah mereka yang ingin melihat kita bahagia dengan apa yang kita impikan dan bukannya merosakkan atau memecah belahkan serta menambah masalah yang sedia ada.

No comments:

Post a Comment