Monday, April 2, 2012

PTPTN & POLITIK SEMASA

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan dibawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang berkuatkuasa pada 1 Julai 1997. Pinjaman pendidikan ini bukan hanya terhad kepada bangsa Melayu dan Bumiputera malahan terbuka kepada seluruh kaum dan bangsa di Malaysia. Tujuannya adalah memberi pembiayaan pinjaman pendidikan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Tempatan bagi membolehkan pelajar-pelajar membiayai separuh atau keseluruhan kos pengajian dan kos sara hidup sepanjang pengajian mereka di IPT.

Memang tidak dinafikan terdapat kepincangan dan kelemahan PTPTN dalam menangani isu-isu berbangkit setiap tahun seperti isu senarai hitam dan isu peminjam-peminjam tegar yang enggan melangsaikan hutang pinjaman pendidikan mereka.

Melalui petikan daripada Akhbar Suara Keadilan pada 27 Mac 2012, Anwar Ibrahim menyatakan bahawa, ““Kalau kita diberi mandat memerintah Malaysia, saya beri jaminan, PTPTN akan kita batalkan. Saya Menteri Kewangan lapan tahun, saya tahu caranya.”. Bukan itu sahaja malahan Pakatan Rakyat berjanji akan memberi pendidikan percuma dari sekolah rendah ke universiti jika berjaya tawan Putrajaya.

Kenyataan ini bisa mengaburi mata para peminjam PTPTN dan ianya bersifat provokasi dan tektik terbaru Pakatan Rakyat memancing pengundi-pengundi muda supaya menolak kerajaan BN sewaktu PRU 13 nanti.

Jika PTPTN dibatalkan maka ianya bukan lagi bersifat sebagai pinjaman pendidikan tetapi secara automatik akan bersifat sebagai biasiswa kepada semua pelajar dan bekas pelajar untuk semua lapisan kaum di Malaysia. PTPTN akan jauh lebih tinggi tarafnya daripada MARA kerana MARA hanya untuk bangsa Melayu dan Bumiputera manakala PTPTN untuk semua rakyat Malaysia. Jadi apa ertinya Perlembagaan 153 terhadap bangsa Melayu dan Bumiputera? Jika ini berlaku maka sekali lagi keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dicabul oleh Pakatan Rakyat.

Kerana mahukan undi yang tinggi bagi merealisasikan impian sebagai pemimpin nombor satu negara, Anwar Ibrahim secara tidak langsung sanggup memperdagangkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera disebalik perancangan liciknya. Jika benar beliau boleh atasi perkara berkaitan dengan PTPTN, kenapa baru sekarang sewaktu beliau sebagai Ketua Pembangkang dan kenapa tidak sewaktu beliau menjawat Menteri Kewangan sedangkan PTPTN ditubuhkan sewaktu legasi beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta bekas Menteri Pendidikan pada ketika itu.

Jelas sekali ini hanyalah helah politik kotor beliau untuk memperburukkan kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dikalangan pengundi-pengundi muda dalam usaha menarik undi.

Sebagai bekas pelajar dan peminjam PTPTN, saya berpendapat bahawa isu PTPTN akan digunapakai sebagai senjata utama Pakatan Rakyat menjelang kempen PRU 13. PTPTN dan kerajaan sedia ada tidaklah kejam terhadap rakyat malahan dengan PTPTN yang membolehkan pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi meskipun terpaksa berhadapan dengan isu hutang selepas tamat pengajian. Dikenali sebagai ‘pinjaman’ pendidikan, maka peminjam wajib melunaskan pinjaman setelah meminjam.

PTPTN dan kerajaan tidak pernah memaksa pelajar-pelajar mahupun ibubapa untuk memohon pinjaman pendidikan ini, ianya hanyalah sebagai salah satu alternatif PTPTN dan kerajaan kepada mereka yang berkemampuan dan kurang berkemampuan merealisasikan impian mereka ke menara gading. Belum ada negara-negara di dunia yang memberi pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar mereka ke peringkat universiti.

Isu PTPTN ini hanya akan reda sekiranya pihak kerajaan bersama PTPTN memansuhkan kadar faedah sedia ada, meminimakan jumlah bayaran balik pinjaman (bayaran bulanan) dan mengkaji serta mempertimbangkan semula tindakan senarai hitam dan sekatan ke luar negara. Perkara-perkara yang dinyatakan ini adalah lebih logik daripada usaha Pakatan Rakyat membonekakan PTPTN.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat secara tidak langsung akan menjadi tarikan utama terhadap pengundi-pengundi muda. Pengundi-pengundi muda amat terkenal dengan sikap agresif , ‘rebel’ dan kekurangan melihat komplikasi untuk jangka masa panjang. Jadi Pakatan Rakyat tidak teragak-agak untuk mempergunakan isu ini dikalangan pengundi-pengundi muda dalam usaha menggulingkan kerajaan BN.

Belum ada negara-negara di dunia ini yang memberi pinjaman pendidikan tanpa had kepada pelajar-pelajar seperti yang dilaksanakan oleh PTPTN dan kerajaan kepada rakyat Malaysia. PTPTN dan kerajaan mesti lakukan sesuatu agar isu berkaitan dengan pinjaman pendidikan ini tidak diperkotak-katikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sekaligus boleh mengancam kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan PTPTN. Malah setiap pelajar yang pernah membuat pinjaman haruslah faham akan tujuan kewujudan PTPTN agar tidak sewenang-wenang menyalahkan PTPTN dan kerajaan apabila setiap kali berhadapan dengan masalah pinjaman pendidikan.

Oleh,
Adib Anas
Yang Dipertua GPMS Cawangan Penanti, Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment