Sunday, April 12, 2009

ALFRED HITCHCOCK : BAPA FILEM SERAM

Alfred Hicthcock, “Drama is life with the dull bits left out."


Bapa filem seram, Alfred Hicthcock dilahirkan dalam sebuah keluarga Katolik Kristian di Cockney, London pada 13 Ogos 1899. Nama sebenar Hicthcock ialah Alfred Joseph Hicthcock. Hicthcock ialah anak bongsu pasangan William dan Emma Hicthcock. Beliau mempunyai adik-beradik yang bernama William dan Ellen Kathleen. Mereka dibesarkan di Leytonstone, Timur London. Bapa Hicthcok meninggal dunia ketika usia Hicthcock 14 tahun. Beliau mendapat pendidikan awal di Jesuits’ St. Ignatius College sebelum menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan di University of London. Hicthcock dikatakan sebagai seorang pelajar yang suka membaca, rajin ke kelas disamping mengambil bahagian dalam drama pentas (teater) dan skrin. Beliau merupakan seorang yang suka menulis dan membuat lakaran lukisan. Hicthcock mempunyai cita-cita tinggi. Daripada melibatkan diri dalam bidang kejuruteraan sebagai kerjaya pertama, Hicthcock beralih angin ke syarikat pengiklanan dan bertugas sebagai pelukis.


Beliau kemudiannya memohon kerja sebagai production design di Famous Players-Lasky setelah terbaca akan iklan kerja kosong untuk studio yang baru di buka pada tahun 1920. Permohonannya diterima dan di sinilah bermulanya kerjaya Hicthcock sebagai pembikin filem sehingga umurnya mencecah usia 80 tahun. Sebelum bergelar pengarah filem pada tahun 1925, Hicthcock merupakan penolong pengarah ebih daripada tiga tahun. Sewaktu bergelar pengarah, Hicthcock tidak hanya tumpukan terhadap bidang pengarahan sahaja, malahan beliau juga memberi penumpuan dan penekanan serta mempelajari setiap aspek perniagaan filem (film business). Beliau juga pernah berkerja di German atas arahan syarikat produksi British dia antara tahun 1923 hingga 1925. Pada waktu ini, Hicthcock sudah pun menekan aspek penggayaan visual secara ekspresi (expressionic) dengan melibatkan pengarah-pengarah filem lain seperti Ernst Lubitsch, F.W Murnau dan Fritz Lang. Ketiga-tiga pengarah ini sama seperti Alfred Hicthcock yang meninggalkan negara sendiri untuk berkerja di Amerika Syarikat. Penggayaan visual secara ekspresi (expressionistic) yang diperkenalkan oleh mereka dikatakan sebagai pemangkin terhadap kemajuan industri filem dunia.


Menyentuh soal rumahtangga Alfred Hicthcock, beliau mempunyai isteri yang bernama Alma Reville iaitu seorang penyunting filem dan penulis skrip yang disanjungi. Beliau bertemu dengan Reville pada tahun 1921 dan menjalinkan ikatan pertunangan sebelum berkahwin pada Disember 1926. Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Patricia, yang dikurniakan kepada mereka pada tahun 1928. Perkahwinan antara Hicthcock dan Reville bertahan sehingga Hictcock meninggal dunia pada 29 April 1980 di Los Angelas. Hicthcock mendapat kerakyatan warganegara Amerika Syarikat pada tahun 1955 sewaktu berhijrah ke sana setelah Perang Dunia II meletus di Eropah. Hicthcock dan Reville juga pernah bergabung dalam menghasilkan filem Shadow of a Doubt. Anak mereka Patricia berlakon dalam filem ini dan juga ada memegang watak sampingan dalam filem Psycho dan Starangers of a Train.


Hicthcock bergelar pengarah filem setelah mengarah filem pertama arahannya yang berjudul The Pleasure Garden pada tahun 1925 dan filem kedua yang berjudul The Lodger pada tahun 1926. Filem The Lodger (1926) merupakan kejayaan awal kariernya sebagai pengarah filem di England. Beliau juga adalah pengarah filem yang paling berjaya dan mendapat bayaran tertinggi di England. Sewaktu Perang Dunia II meletus, Hicthcock meninggalkan England dan berhijrah ke Amerika Syarikat. Filem pertama arahannya di Amerika ialah Rebecca (1940). Rebecca (1940) menang Anugerah Oskar (honourary Oscars) tetapi Hicthcock tidak berjaya menggondol Anugerah Pengarah Terbaik.


Di antara tahun 1950 hingga 1960, empat filem yang dianggap terhebat (masterpieces) daripada Hitchcock terhasil. Antaranya ialah Rear Window, Vertigo, North by Northwest dan Psycho. Filem Psycho arahan Hicthcock mendapat kritikan hebat oleh para pengkritik pada waktu itu kerana dikatakan membawa keganasan ke layar perak. Pada tahun 1955, setelah mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat, Hitchcock melancarkan Alfred Hitchcock Presents, iaitu sebuah rancangan televisyen yang popular. Dari tahun 1955 sehingga 1962, terdapat 20 produksi televisyen yang diarahkan oleh Hitchcock. Produksi yang paling berjaya ialah Alfred Hitchcock Presents, di mana Hitchcock juga bertindak sebagai hos. Alfred Hitchcock Presents telah meletakkan Hitchcock daripada seorang pengarah filem dan selebriti kepada seorang ikon. Sepanjang melibatkan diri dalam industri perfileman, Hitchcock bukan sahaja melibatkan dirinya dalam bidang pengarahan filem sahaja, tetapi beliau juga merupakan seorang penulis skrip dan produser. Hitchcock mengabdikan dirinya sebagai seorang penulis skrip, produser dan pengarah filem sehingga tahun 1979. Antara filem-filem terbaik beliau yang lain ialah The Birds, Marnie dan Family Plot.


Alfred Hitchcock memulakan kerjayanya sebagai pengarah filem apabila beliau mula mengarah filem pertamanya iaitu The Pleasure Garden (1925). Filem keduanya ialah The Lodger : A Story of The London Fog (1927), diikuti dengan Blackmail (1929) dan Murder (1930). Kedua-dua filem ini Hitchcock juga bertindak sebagai punulis skrip. Beliau seterusnya mengarah filem The Man Who Knew Too Much (1934), The 39 Steps (1935), Sabotage (1936), The Lady Vanishes (1938), Rebecca (1940), dan Shadow of The Doubt (1943).


Kemudian, bermula tahun 1946 hingga 1976, Alfred Hitchcock mula memegang dua peranan penting dalam pembikinan filem iaitu sebagai pengarah filem dan produser. Notorious (1946) adalah filem pertama Hitchcock sebagai pengarah dan producer. Diikuti dengan Stranger On The Train (1951), Rear Wndow (1954), The Man Who Knew Too Much (1956), Vertigo (1958), dan North By Northwest (1959). Pada tahun yang berikutnya, filem yang dianggap paling berhantu di dunia diarah dan diterbitkan oleh Hitchcock iaitu Psycho (1960). Selepas Psycho (1960), diikuti dengan The Birds (1963), Marnie (1964), Torn Curtain (1966), Frenzy (1972) dan Family Plot (1976).


Selama mengarah dan menerbitkan filem, Alfred Hitchcock berkhidmat dengan pelbagai studio filem di London mahupun Amerika Syarikat. Di London, antara studio-studio filem yang pernah Hitchcock berkhidmat ialah Studio Gainesborough, British International dan Gaumont British. Manakala di Hollywood pula, Hitchcock pernah berkhidmat dengan Studio Selznick, Universal, Warner Brothers, RKO Radio, First National, Paramount, dan MGM. Studio-studio yang digunakan oleh Hitchcock sewaktu bergelar penerbit dan pengarah filem ialah Studio RKO Radio, Warner Brothers, First National, Paramount, MGM, dan Studio Universal.


Pada awal tahun 1960an, Alfred Hitchcock telah menghasilkan dua buah filem horror yang dianggap sebagai perintis dan ikutan kepada pengarah-pengarah filem lain untuk mengolah filem horror mereka mengikut cara atau teori Hitchcock. Filem-filem horror Hicthcock yang menjadi kebanggaan dunia ialah Psycho (1960) dan The Birds (1963), walaupun pada awal tayangannya filem-filem ini mendapat kritikan yang dahsyat daripada pengkritik-pengkritik filem pada era itu. Filem horror merupakan filem yang menjadi kesukaan ramai pada awal tahun 1960 hingga awal tahun 1970, dan menarik perhatian pembikin-pembikin filem untuk mengarah filem-filem genre horror (http://members.aol.com/MG4273/hitch.htm). Pada era ini, pengarah filem seperti Peter Bogdanovich, William Castle, Roger Corman, Curtis Harrington, Seth Holt, Robert Aldrich dan Roman Polanski telah mengarah filem horror. Filem What Happened to Baby Jane (1962) dan Hush, Hush, Sweet Charlotte (1964) arahan Robert Aldrich serta filem The Power (1967) oleh Byron Haskin adalah contoh filem yang menggunakan teknik, teori atau pendekatan Hitchcock.


Alfred Hitchcock digelar sebagai ‘Bapa Filem Seram’ kerana beliau dengan beraninya memvisualkan babak-babak keganasan dan ngeri di layar perak. Hitchcocklah yang merupakan pelopor terhadap keganasan dan unsur ngeri pertama di layar perak sehingga mendapat kritikan hebat daripada para pengkritik pada era itu sebelum filem Psycho (1960) arahannya dikatakan sebagai filem horror unggul. Akibat daripada keterbukaan yang dibuat oleh Hitchcock, maka penerbit dan pengarah filem lain mula berani untuk menerbitkan filem-filem yang berunsur ganas dan ngeri seperti The Godfather (1972) dan Deliverance (1972).


Adapun pengarah yang cuba mengarah filem Psycho yang asal mengikut kehendak semasa dengan dibintangi pelakon-pelakon terkini dan teknik pemvisuallan yang canggih tetapi ianya tidak berjaya seperti mana filem Psycho (1960) arahan Alfred Hitchcock. Psycho Hitchcock masih terbaik walaupun ada pihak yang ingin mencuba untuk membuat perubahan terhadap filem tersebut.


Hictchcock adalah seorang pembikin filem yang cuba mempertengahkan unsur dramatik dalam isu psychopatic dan expressionisme. Semuanya diolah bagi mendapat kesan emosi terhadap penonton. Hitchcock dalam Braudy (1968) menyatakan bahawa :


“The construction of the story and the way in which it was told caused audiences all over the world react and become emotional.”


Tujuan Hitchcock berbuat begitu kerana beliau ingin memusnahkan jurang yang mengasingkan filem dengan penonton. jadi, dengan teknik ini penonton atau pengikut Hitchcock akan lebih menjiwai naratif yang dipersembahakan oleh Hitchcock kepada mereka. Hitchcock juga mempercayai bahawa unsur tingkahlaku psikologi akan membawa kebenaran yang mutlak untuk filem-filemnya.


Hitchcock (BrainyQuote.com,2004) dalam Ibrahim Jamaluddin menyatakan bahawa :


“In feature films the director is God…”


Mungkin inilah falsafah Hitchcock dalam menghasilkan filem-filemnya. Filem adalah medium komunikasi. Jadi, Hitchcock cuba untuk berkomunikasi dengan penontonnya dengan menunjukkan kebenaran keganasan dan unsur ngeri di dalam filem-filem arahannya supaya penonton dapat menghargai kelakuan atau sifat yang dikurniakan.


Stanton Peele (http://www.peele.net/lib/hitch.html, 1986) menyatakan bahawa Alfred Hitchcock merupakan seorang yang berdisiplin, berkerja keras dan mempunyai jiwa untuk penonton atau pengikutnya supaya mereka memahami dengan apa yang beliau visualkan. Walaupun sudah melebihi enam dekad yang berbeza, filem-filem Hitchcock sehingga kini masih diterima untuk tontonan dan juga kajian. Lebih-lebih lagi filem-filemnya yang dianggap masterpieces seperti Rear Window (1954), Vertigo (1958), North By Northwest (1959) dan Psycho (1960).


Alfred Hitchcock adalah tokoh terkemuka dalam penghasilan filem-filem horror. Jadi tidak hairanlah sekiranya ada filem-filem horror yang dihasilkan oleh pengarah-pengarah filem sekarang yang mempunyai teknik atau gaya persembahan yang sama seperti Hitchcock. Ini kerana Hitchcock sentiasa berada dalam bayangan mereka dan ‘Bapa Filem Seram’ inilah merupakan idola mereka dalam penghasilan cerita-cerita horror.


4 Oktober 2006.

No comments:

Post a Comment