Tuesday, April 28, 2009

YAB DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK & ISA

Ucaptama YAB Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 telah mengisytiharkan pembebasan sejumlah 13 tahanan ISA berkuat kuasa serta merta. Beliau turut mencadangkan agar ISA dikaji semula.

Jawapan sama ada ISA perlu atau tidak, sama sekali tidak ditekankan. Cuma yang dicadangkan ialah kajian ke atas Akta ISA ini. Selama Akta ISA dikenakan ke atas pesalah, pelbagai andaian telah disuarakan. Sesetengah pendapat menyatakan bahawa akta ini melanggar hak asasi manusia. Rakyat tidak bebas menyampaikan kritikan terhadap kerajaan.

Berfikir mengenai isu akta ini, ada relevannya Akta ISA diguna pakai terutamanya Perdana Menteri. Walaupun negara Malaysia telah maju dan rakyatnya sudah pandai menilai, tetapi ianya bukanlah alasan untuk akta ini dihapuskan. Jika kita lihat, ISA hanya dikenakan kepada mereka yang menghasut dan hasutan mereka boleh menyebabkan negara menjadi huru-hara, kaum antara kaum bertelingkah, sama ada dari segi percakapan atau perbuatan yang boleh mengancam kedaulatan dan keamanan negara. Sekiranya tiada akta ini atau akta ini dihapuskan bagaimana keselamatan pemimpin, kerajaan dan rakyatnya. Sedikit-sebanyak akta ini dapat mengurangkan pengisytiharan darurat.

Sekiranya darurat diisytiharkan, imej negara berada dalam keadaan yang amat berbahaya. Ekonomi negara akan terjejas. Masalah dalaman negara (Malaysia) tidaklah sehebat negara-negara luar yang lain. Malaysia mampu mengatasi masalah dalaman secara damai. Ianya juga berikutan daripada majoriti rakyat Malaysia yang masih berpegang kepada amalan hormat-menghormati.

Jika dikaji sekalipun akta ini, ISA bukannya dikenakan terhadap individu atau kumpulan pada setiap masa. Jumlah individu atau kumpulan yang dikenakan dibawah tahanan ini masih ditahap yang minima.

Saya berpendapat bahawa tujuan kajian semula dilakukan ke atas akta ini, berkemungkinan adalah untuk mengemas kini peraturan dan tindakan ke atas individu atau kumpulan.

Setakat ini belum ada pemimpin Malaysia yang menyalahgunakannya. Sesetengah rakyat kita menolak ISA adalah kerana rasa ketidakpuasan hati terhadap kerajaan. Sebelum isu 1998, ISA tidak pula dipertikaikan. Setelah 1998, isu Akta ISA ini mendapat liputan yang amat meluas hinggakan ianya dikecam.

Kelantangan tentang isu ini hanya dicanangkan oleh mereka yang pernah merasainya. Jika difikirkan kembali, dalam tempoh 11 tahun ini berapa orang sangat yang dikenakan dibawah tahanan ISA. Tetapi, bagaimana mereka berjaya menghasut rakyat yang lain untuk menolak ISA. Sepastinya hasutan mereka berjaya kerana berjuta rakyat Malaysia yang ingin menolak akta ini. Jadi, nilailah sendiri dengan jumlah tahanan ISA yang minima tetapi berjaya mempengaruhi jutaan rakyat, apa yang perlu kita klasifikasikan bekas tahanan ini. Kalau dihasut dengan perkara yang boleh meningkatkan kualiti dan produktiviti tidak mengapa, tetapi hasutannya merujuk kepada individu tertentu, kaum tertentu dan kerajaan, yang mana hasutan itu bakal membawa kepada punca pergaduhan dan kerosakan harta benda awam.

Beginikah cara kita menunjukkan protes? Malaysia telah merdeka selama 51 tahun tetapi kita masih lagi tidak dapat menimbang yang mana baik dan buruk setelah nafsu menguasai diri.



No comments:

Post a Comment