Sunday, April 12, 2009

FILEM DI TELEVISYEN

Mansor Ahmad Saman dalam Mohamad Md. Yusoff (1993), menyatakan pendapatnya bahawa:


Televisyen boleh kita gunakan untuk memancarkan dengan meluas budaya kita, cara hidup kita, perkembangan dan perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat kita, sejarah bangsa dan budaya kita, amnya dan ideal masyarakat kita dan daya cipta kreatif masyarakat.


Stesyen televisyen mempunyai hak dan kuasa untuk menetapkan rancangan dan program untuk penonton. Di Malaysia, terdapat tujuh buah stesyen televisyen. Stesyen-stesyen televisyen tempatan ialah Astro, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mempunyai dua stesyen TV iaitu TV1 dan TV2, serta TV3, 8TV, NTV7 dan Channel 9 di bawah Media Prima Berhad dan MiTV. Stesen-stesyen televisyen ini sentiasa bersaing untuk mendapat jumlah penonton tertinggi untuk sesuatu program atau rancangan yang disiarkan. Stesyen televisyen mempunyai slot tayangan filem sama ada tayangan filem-filem tempatan mahupun antarabangsa.


Filem-filem yang disiar atau ditayangkan di televisyen lebih menjurus kepada filem popular (komersial) berbanding dengan filem seni (artistik) dan stesyen televisyen pula meraih untung daripada menyiarkan filem-filem berkenaan. Hal yang demikian amat membimbangkan kerana ianya akan melemahkan pemikiran penonton dan seterusnya penonton terdidik dengan satu budaya pemikiran ringan serta pemikiran mereka tidak berkembang sekiranya filem-filem yang berunsurkan pemikiran atau ideologi dipersembahkan kepada mereka.


Definisi Filem hanya merupakan bahantara seni gambar bergerak yang sekadar memapar luaran sahaja. (Adman Salleh, 2004)


Filem adalah sebuah medium komunikasi yang menterjemahkan skrip (naratif) kepada bentuk visual dengan harapan mendidik masyarakat melalui imej, persoalan dan mesej-mesej yang terkandung dalam sesebuah filem. Melalui filem, komunikasi akan terjalin antara penonton dengan visual yang diterjemahkan oleh pengarah filem ke layar kerana ianya adalah sebuah medium yang menterjemahkan idea komunikasi. Apabila penonton mulai faham akan mesej yang disampaikan, maka komunikasi antara penonton dengan visual akan terjalin. Menonton filem adalah budaya hiburan yang popular. Penonton tidak perlu ke pawagam semata-mata untuk menonton filem. Kini, penonton boleh menikmati atau menonton sesebuah filem melalui medium-medium penyampai yang lain seperti televisyen, pita video, cakera padat (VCD) atau DVD di rumah.


Para sarjana mendefinisikan filem sebagai sebuah medium komunikasi yang menterjemahkan visual merangkumi bahasa (dialog) dengan perbuatan, pergerakan dan ekspresi. Visual yang diimejkan secara tidak langsung akan menggantikan bahasa (dialog) dengan perlakuan atau perbuatan. Dalam kata lain, filem adalah pergerakan imej yang terbentuk pada skrin atau layar seluloid melalui bantuan projektor (Ron Johnson dan Jan Bon, 1986). Filem adalah sebuah medium yang menghubungkan komunikasi antara pembikin filem dengan penonton. Apabila penonton menonton filem secara tidak langsung mereka akan mendapat input melalui imej dan mesej-mesej yang disampaikan melalui layar. Filem juga dibahagikan kepada tiga jenis iaitu filem arus perdana (cereka), filem dokumentari dan filem animasi. Filem arus perdana adalah filem kegemaran dan pilihan ramai kerana ianya berunsurkan hiburan.


Pentakrifan filem dari segi naratif, filem dianggap sebagai seni rekaan. Filem, tidak dirujuk sebagai bahan atau cara melakukannya. Perkataan filem itu sendiri sudah menjadi generic term. Apa-apa cerita yang divisualkan boleh dikategorikan sebagai filem sama ada untuk tayangan di pawagam mahupun di televisyen kerana yang membezakannya ialah format teknik rakaman. Perkataan filem ini boleh digunakan walaupun cerita itu dibikin atau divisualkan melalui format video mahupun filem. Filem juga ditakrifkan sebagai produk atau seni plastik yang dihasilkan melalui rakaman kerana melalui produk filem pengkarya yang merujuk kepada karyawan memberi nama atau judul filem untuk sesebuah drama cerita rekaan atau cereka (dramatic feature) (Prof. Dr. Hatta Azad Khan, 28 Mac 2006).


Mengkaji psikologi manusia, sememangnya naluri manusia suka kepada perkara-perkara yang menghiburkan dan meriangkan (A.Razak Mohaideen, 2004). Filem arus perdana dilihat sebagai filem yang menepati citarasa penonton. Melalui filem arus perdana, penonton dapat memilih jenis-jenis atau genre filem yang ingin ditonton. Terdapat pelbagai genre untuk penerbitan sesebuah filem. Antaranya ialah genre horror, science fiction, drama, melodrama, noir, western, perang, epik, komedi, muzikal, pengembaraan, kung-fu, gangster dan fantasi (Ayu Haswida Abu Bakar, Nota Kuliah, 31 Disember 2003). Kadang-kala penerbit atau pengarah akan menggabungkan beberapa genre bagi mempelbagaikan kisah dan tragedi dalam filem. Maka, terciptalah sub-genre filem seperti genre komedi romantik, naratif komedi, psiko seram, drama muzikal dan banyak lagi.


Menonton filem dan televisyen adalah budaya popular. Filem dan televisyen serta budaya popular adalah saling memerlukan. Budaya popular memerlukan medium filem dan televisyen dalam mempopularkan sesebuah budaya pop atau popular. Manakala, filem dan televisyen adalah medium penyampai budaya popular kepada penonton dan masyarakat. Diana Kendall (2000) menyatakan bahawa :


Popular culture consists of activities, products and services that are assumed to appeal primarily to members of the middle and working classes, including rock concerts, spectator sports, movies and television soap operas and situation comedy.


Budaya pop atau popular adalah budaya yang dicipta untuk tujuan perdagangan. Bagi mencapai sebaran ini, filem dan televisyen adalah medium yang bertepatan dalam mencapai matlamat ini supaya sampai kepada semua lapisan masyarakat. Mohamad Md. Yusoff (1993) menyatakan bahawa salah satu ciri utama budaya popular ialah sifatnya yang mempunyai penonton yang pelbagai dan berada di merata tempat dengan cara hidup, kepercayaan dan citarasa yang berbeza.


Budaya popular memerlukan televisyen untuk menyampaikan mesejnya kepada masyarakat, begitu juga dengan televisyen yang memerlukan bilangan penonton yang tinggi. Dalam konteks ini, jelas menunjukkan bahawa filem di televisyen berupaya menarik minat penonton untuk menonton. Stesyen televisyen juga berupaya menarik ramai penonton untuk menonton filem-filem yang ditayangkan. Dengan menyiarkan filem di televisyen, penonton secara tidak langsung akan menikmati hiburan yang agak murah jika dibanding dengan harga tiket yang akan dibeli oleh mereka untuk menonton filem di pawagam. Perkara ini secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah penonton menonton filem di pawagam. Penonton sudah pasti akan memilih televisyen kerana ianya jauh lebih murah dan menjimatkan masa. Filem di televisyen yang ditonton oleh mereka sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk tinggal di dalam rumah dan berhibur bersama ahli keluarga dan berupaya mengeratkan hubungan kekeluargaan. Fenomena ini akan mencetuskan sebuah budaya popular dikalangan masyarakat.


Budaya popular yang dimaksudkan bukan sahaja melibatkan pemaparan budaya pop melalui visual yang ditayangkan malahan menonton filem di televisyen sudah memberi cetusan budaya terhadap masyarakat. Jika tontonan filem melalui televisyen sudah menjadi satu budaya terhadap masyarakat, stesyen televisyen haruslah memainkan peranan terpenting dalam memilih filem-filem yang berkualiti sejajar dengan budaya popular yang telah tercetus ini. Budaya popular yang wujud mempunyai pro dan kontranya. Andainya populariti yang disandarkan maka budaya tidak sihat akan menular dikalangan masyarakat dan jika kualiti yang ditekankan maka penonton akan menikmati sebuah budaya yang akan mengubah cara pemikiran, kepercayaan dan cara hidup yang membimbing ke arah masyarakat yang berpendidikan dan penuh dengan unsur-unsur perpaduan dan pembangunan.


Livingstone, Sonia (1998) menyatakan bahawa :


Television may play a restructuring role for viewer’s cognition. In other words, through their narrative requirements for consistency, coherences, and redundancy, programmes may organise people’s beliefs and frames of thinking in specific, robust, often simplified ways, creating dichotomies and oppositions, forming association and connotation, not previously used by the viewers.


Televisyen adalah medium yang berpengaruh terhadap penonton. Sebagai sebuah medium yang bersifat mempengaruhi, stesyen televisyen mestilah memainkan peranan penting dalam menyajikan bentuk atau jenis filem melalui slot yang disediakan. Stesyen TV juga tidak seharusnya tunduk terhadap tuntutan komersial sahaja, tetapi perlu menilai semula filem-filem yang dipilih demi memupuk budaya berfikir dan intelek dikalangan penonton tempatan. Masyarakat Malaysia kurang membaca, jika sajian filem ‘sampah’ dipertontonkan maka ‘sampah’ juga yang dihasilkan melalui pemikiran masyarakat. Jadi, sebagai bahan atau medium yang menyampaikan ideologi-ideologi tertentu stesyen TV mestilah menyajikan filem-filem seni, kreatif dan tinggi nilai kualitinya agar mampu mengubah persepsi, budaya berfikir dan tingkahlaku masyarakat penonton. Menurut Mastura Muhammad (2005) :


Aktiviti menonton tidak sekadar menonton sebaliknya membaca dan mengkritik.


Filem di televisyen merupakan salah satu proses menganjurkan penonton terhadap pandangan dan pendapat bagi mengkritik dan menyatakan pandangan terhadap apa yang ditonton. Filem yang perlu ditonton adalah filem yang memaparkan aspek propaganda, ideologi politik, ekonomi, sosial, budaya, keagamaan dan kepercayaan sesebuah bangsa dan negara. Aspek ini adalah perlu bagi memperluaskan proses berfikir di kalangan masyarakat penonton kerana menurut Azim Syafi (2004), filem ialah cermin budaya sesuatu bangsa yang membawa imej negara. Jadi, karyawan filem, pembiaya dan stesyen TV tempatan hendaklah mengubah cara pemikiran dalam membikin atau memilih filem untuk televisyen yang mempunyai mesej dan maklumat, pengajaran dan pembangunan minda masyarakat kerana filem adalah lambang identiti nasional sesebuah negara. Halloran (1970) dalam Livingstone, Sonia (1998) menyatakan bahawa :


Television may provide viewers with ‘pictures of the world, the definitions of the situation and problems, the explainations, alternative remedies and solutions’.


Sebagai satu budaya popular, menonton filem di televisyen perlu dilihat dari sudut pandangan budaya. Filem di televisyen bukan sahaja untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi melihat atau menonton filem itu sebagai pemaparan sosial, ideologi dan sikap yang cuba disampaikan kepada penonton.


28 April 2006.

1 comment:

  1. Boleh tak i tahu dengan lebih detail lagi tentang genre filem gelap,genre filem wanita dan Melodrama,Genre Filem Cereka Sains dan Genre PErang ?? :)

    ReplyDelete