Saturday, April 18, 2009

PERALIHAN KUASA & RAMPASAN KUASA

Hasrat Yang Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohammad mahu menyertai semula UMNO amatlah dinanti. Pengumuman telah pun dibuat oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau mengadakan pertemuan dengan Yang Berbahagia Tun. Alhamdulillah, akhirnya terbuka juga hati Yang Berbahagia Tun untuk kembali kepangkuan UMNO setelah beliau sendiri membuat pengakuan keluar dari UMNO sejak lewat Mei yang lepas.

Ekoran kritikan terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak langsung telah membuat kenyataan bahawa peralihan kuasa yang akan dilakukan pada tahun 2010 hendaklah dipercepatkan kerana tempoh yang diberikan agak lama bagi menjalani proses pemulihan dalam UMNO dan juga BN. Kenyataan daripada pihak menteri sebagaimana yang disuarakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat dan juga ahli-ahli UMNO.

Selama ini menteri-menteri teragak-agak untuk memberikan komen apatah lagi untuk mengkritik secara terang-terangan. Kini setelah kenyataan ini dibuat, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai seorang yang berani berhadapan dengan risiko kerana kelantangan beliau. YAB PM seharusnya mengambil kira soal kritikan terhadap kepimpinannya. Rakyat bukan menolak YAB PM dengan suka-suka tetapi rakyat amat prihatin terhadap masa depan Malaysia. YAB PM berjaya untuk penggal pertama menjadi PM, tetapi terdapat rekahan yang agak mendadak pada penggal kedua. Ini bukan soal ‘gila kuasa’ para menteri yang berkebolehan untuk naik ke atas, tetapi untuk mengelakan daripada perkara-perkara berbangkit terus menerus menyelubungi fikiran rakyat yang masih tiada noktah. Peralihan kuasa secara aman dan dipersetujui oleh semua pihak amat elok dipercepatkan, disamping pemulihan segala kelemahan dapat diatasi dengan cara yang profesional.

Saya masih tidak faham kenapa rakyat sekarang terutamanya ahli UMNO-BN sudah tidak berminat dengan parti ini. UMNO bukan parti lapok atau outdated tetapi UMNO adalah parti untuk bangsa Melayu di mana segala hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam akan sentiasa dipertahankan untuk selama-lamanya. Bukan soal sudah muak dengan parti yang hanya merujuk kepada satu kaum, perkara ini hanya mainan politik Pakatan Rakyat dalam usaha membolehkan Anwar Ibrahim memenangi pilihanraya. Sedar atau tidak, PAS dan PKR adalah parti serpihan yang ditubuhkan oleh anggota atau ahli yang pernah menganggotai UMNO suatu ketika dahulu. Mereka adalah orang-orang yang kecewa kerana gagal memperoleh tempat atau jawatan yang diingini lalu menubuhkan parti bagi menunjukkan rasa protes.

Berkenaan dengan 16 September 2008 sebagaimana yang dicanang oleh Anwar Ibrahim sebagai tarikh di mana Pakatan Rakyat (PR) menuju ke Putrajaya, bagi saya ianya adalah satu dogengan politik bagi meraih simpati majoriti rakyat yang lain untuk beroleh kepercayaan, kemenangan dan menunjuk kekuasaan. Sehingga sekarang tidak ada Ahli Parlimen BN melompat parti. Kronologi PR dalam merampas kuasa sedia ada juga tidak terjadi. Malahan kini, telah keluar kenyataan daripada pemimpin PR yang menyatakan bahawa misi 16 September mungkin akan lewat sedikit ekoran daripada Ahli-Ahli Parlimen BN sedang mengikuti lawatan sambil belajar di luar negara. Pada saya, ini semua adalah tipu dan helah semata-mata. Apabila keriakkan menguasai diri maka inilah yang berlaku. Rakyat ditipu hidup-hidup oleh golongan yang sentiasa ‘gila kuasa’. Sekiranya apa yang dicanangkan ini benar-benar terjadi, saya tidak mengklasifikasikannya sebagai peralihan kuasa kepada kerajaan baru tetapi saya mengklasifikasikan perkara ini sebagai ‘rampasan kuasa’ yang sememangnya tidak adil untuk semua rakyat Malaysia. Seandainya berlaku, situasi ini saya ibaratkan kerajaan baru impian PR ini sebagai ‘lanun’ atau ‘mafia’ yang merampas hak kesemua rakyat Malaysia yang majorotinya telah menyokong BN sebagai kerajaan pimpinan untuk semua. Sekiranya perkara ini berlaku, sudah pasti PR akan memperalatkan pemimpin-pemimpin BN dengan sogokan wang yang berjuta-juta. Persoalannya dari mana sumber kewangan itu diperolehi oleh PR? PR mendakwa kerajaan sekarang kerajaan yang penuh dengan rasuah, tetapi perbuatan membida ini bukankah sama seperti rasuah?

Malaysia adalah negara yang mempunyai Rang Undang-undang yang kukuh selama ini. Sekiranya benar, perkara sebegini hanya akan wujud setelah pilihanraya yang sah diadakan di seluruh negara. Bukan dengan cara merampas, tetapi dengan cara yang lebih hormat atas dasar kepercayaan.

Bagi isu perkauman yang timbul sejak akhir-akhir ini, saya melihat bahawa isu ini adalah mainan sesetengah pihak sewaktu berkempen dan liputan yang songsang dimain pula oleh media untuk mencetuskan kontroversi disamping menarik pelanggan untuk membeli tulisan yang dicetak itu. Sebelum ini, jarang sekali isu-isu perkauman dimainkan oleh pihak-pihak tertentu. Cuma apabila seseorang itu ‘gila kuasa’ maka semua isu ini diangkat secara besar-besaran dan menyebabkan perpecahan sesama kaum dan juga parti.

BN telah memimpin Malaysia pada tahap di mana kita berada. Harga petrol dan barangan bukanlah isunya. Perkembangan ekonomi dari masa ke semasa memberi impak terhadap kenaikan ini. Jika tidak berlaku sekarang, mungkin satu tahun, dua tahun, sepuluh tahun atau 20 tahun akan datang tetap akan berlaku perubahan ini. Harga petrol dan barangan 20 tahun dulu tidak akan sama dengan hari ini. Harga pada hari ini pula tidak akan sama dengan 10 tahun atau 20 tahun akan datang. Semuanya akan berubah dari masa ke semasa mengikut peredaran masa. Segala kenaikan harga ini bukan penyebab atau punca kepada perbalahan antara kaum. Punca yang sebenarnya ialah apabila seseorang ‘gila kuasa’ maka segala-gala hak hendak dikongsi bersama walaupun perjanjian antara kaum telah termaktub lagi sejak negara hendak mencapai kemerdekaan. Kaum mana selain bangsa Melayu yang tidak mahu akan hak kesamarataan, mereka sudah pasti mahukan hak ini dikongsi. PKR hanya ‘gula-gulakan’ isu ini kerana mahu menarik sokongan. Percayalah ramai yang akan terpedaya dan ditipu dengan isu-isu sebegini. Malahan perkara mengenai isu perkauman ini akan jadi lebih buruk dari apa yang kita hadapi kini.

Segala apa yang berlaku tetap ada hikmahnya kepada semua. Ada positif dan negatifnya terhadap segala kejadian. Dan setiap masalah yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga masalah yang dihadapi oleh UMNO-BN, semuanya akan ditangani dengan lebih berhemah dan memuaskan hati semua pihak. Cuma kepada yang masih tidak puas hati dan ‘gila kuasa’ sahaja yang akan terus menerus memecah belahkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Harap golongan cerdik pandai dapat menganalisa bagi mendapatkan hasil bukannya dengan merosakkan hasil dalam mencapai matlamat yang belum pasti. Fikirlah mengenai agama, bangsa dan negara dan bukannya soal peribadi yang hanya menguntungkan individu tertentu, yang mana individu itu sentiasa mempunyai perasaan dendam dan mahu melihat rakyat sesama agama dan bangsa bertelagah bagi mencapai impian yang belum pasti. He is not a God to creat everything.


12 September 2008

No comments:

Post a Comment