Sunday, April 12, 2009

DATUK SERI NAJIB TUN ABDUL RAZAK : PM KE-6

Proses peralihan kuasa Tun Abdullah kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan lancar. Upacara Angkat Sumpah yang disempurnakan oleh Datuk Seri Najib dihadapan DYMM SPB Yang Dipertuan Agong, dengan rasminya meletakkan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke-6. Konsep SATU MALAYSIA yang diperkenalkan Najib secara tidak lansung menunjukkan bahawa Najib amat peka dengan kesatuan/perpaduan kaum di Malaysia. Sewaktu pemerintahan Abdullah (Tun), kaum Cina dan India seakan menolak kerajaan BN, mereka membuat protes, Melayu-Cina-India seakan terpisah/berpecah mengikut haluan dan ideologi sendiri. Tetapi, dengan konsep SATU MALAYSIA yang diperkenalkan oleh Najib, berkemungkinan ini adalah langkah utama yang diambil Najib untuk menyatukan ketiga-tiga kaum ini dibawah satu paksi iaitu MALAYSIAN.

Datuk Seri Najib menerima jawatan sebagai PM Ke-6 dalam keadaan yang serba kekurangan. Bangsa Melayu berpecah, belia lebih memihak kepada parti pembangkang, kaum Cina dan India mengusulkan 'yang bukan-bukan', dan tekanan ekonomi global yang turut dirasai Malaysia. Untuk berada dalam jawatan dengan stabil, Najib perlu membuat upacara pembersihan dalaman dan luaran secara maksimum dalam usaha mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap barisan pimpinannya.

Sebagai salah seorang graduan dalam bidang ekonomi dari University of Nottingham, saya percaya Najib boleh memulihkan keadaan ekonomi Malaysia. Pengalaman sebagai ahli politik selama 30 tahun akan membuatkan Najib lebih matang dalam membuat keputusan dan menyelesaikan segala kekusutan.

Perkara utama yang perlu ditekankan oleh Najib ialah menyatukan semua kaum di bawah satu paksi. Umum ketahui bahawa majoriti kaum Cina dan India menolak BN, bahkan sejak akhir-akhir ini ramai Melayu yang menolak UMNO dan BN. Pemulihan disemua peringkat hendaklah berjalan serentak kerana Malaysia hanya mempunyai masa kurang 3 tahun untuk PRU13. Jika perkara ini tidak diutamakan, BN akan tumbang dan sejurus dengan itu ekonomi Malaysia turut akan menjunam sekiranya kerajaan pusat ditadbir parti pembangkang.

Najib telah mempamerkan perkhidmatan yang cemerlang sebagai menteri dalam bidang pendidikan, ketenteraan, sukan, kesenian dan sebagai Menteri Besar Pahang. Saya percaya bahawa Datuk Seri Najib akan dapat mentadbir Malaysia sepertimana yang pernah dilandaskan oleh Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia Ke-4. Saya juga berpendapat, dengan usia 55 tahun sebagai PM, Najib akan lebih lama berkhidmat sebagai PM.


Rabu, 8 April 2009.

No comments:

Post a Comment