Saturday, April 18, 2009

PILIHAN RAYA KECIL PERMATANG PAUH P44 : APA ADA DENGAN ANWAR IBRAHIM

Umum telah ketahui bahawa calon PKR, Anwar Ibrahim (Datuk Seri) telah memenangi Pilihanraya Kecil Permatang Pauh P44 dengan beroleh majoriti sebanyak 15,671 undi. Rupa-rupanya rakyat masih mahukan Anwar Ibrahim meneraju Permatang Pauh seperti sebelumnya, sehinggakan sanggup menolak calon yang mewakili UMNO dalam BN iaitu YB Datuk Arif Shah yang juga merupakan ADUN Seberang Jaya. Perasaan kecewa yang teramat dirasai oleh ahli-ahli BN terutamanya ahli-ahli UMNO yang berkerja keras siang dan malam dalam memastikan jentera BN beroleh kejayaan. Tetapi, malangnya usaha itu ditolak oleh para pengundi yang majoritinya adalah dikalangan bangsa Melayu. Di mana Melayu ketika ini? Tidak serikkah Melayu Permatang Pauh apabila berada dibawah tapak kaki Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP selepas pilihanraya yang lalu? Inilah yang dikesalkan. Saat negara tercinta akan menyambut Hari Kebangsaan Yang Ke 51, majoriti Melayu Permatang Pauh seolah-olah belum mahu Merdeka dan mahukan penindasan yang berterusan berlaku ke atas bangsa Melayu.

Dengan kemenangan PKR pada malam 26 Ogos 2008 sudah cukup bagi majoriti Melayu Permatang Pauh berpesta sepanjang malam. Ibarat "menang sorak, kampung tergadai", begitulah ungkapan yang sesuai diungkapkan buat penyokong-penyokong PKR. Semangat juang untuk bangsa Melayu telah luntur, ketuanan Melayu tidak terbela dan peradaban Melayu dipersenda oleh kalangan Melayu Permatang Pauh yang mengundi PKR.

Penyokong dan pengundi PKR perlu ingat bahawa PKR bukanlah sebuah parti Melayu yang boleh membela dan berjuang untuk bangsa Melayu. PKR adalah parti campuran antara Melayu, Cina dan India. Ketiga-tiga bangsa ini sebumbung dan sudah pasti memperjuangkan hak kesamaan antara kaum bagi mendapat kata sepakat dalam politik yang diperan oleh Anwar Ibrahim bagi memastikan misinya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia tercapai. Perjuangan yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim adalah perjuangan bersifat peribadi, bermotifkan dendam. Demi memastikan rakyat menyokong penuh kepadanya, Anwar Ibrahim sanggup menggadaikan apa sahaja termasuklah keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Perjuangan Anwar Ibrahim bukan perjuangan untuk anak-anak bangsa tetapi perjuangan Anwar Ibrahim adalah perjuangan memecah belahkan umat Melayu yang beragama Islam semata-mata untuk kecapi impian untuk menjadi Perdana Menteri. Di dalam parti yang ditubuhkan oleh isterinya pada tahun 1999, jelas menunjukkan bahawa keterbukaan parti tersebut menerima semua bangsa dibawah satu bumbung tanpa ada sebarang parti komponen dibawahnya yang mewakili bangsa sesuatu kaum.

Jadi, apa bezanya PKR dengan DAP? Cuma PAS sahaja yang diwakili oleh Melayu. PKR dan DAP bersengkol dalam membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menolak calon PAS sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sedangkan berbanding dengan calon PKR, calon PAS dari ADUN Permatang Pasir dilihat lebih layak untuk menduduki kerusi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mempunyai dua kerusi untuk jawatan itu.

Penyokong dan pengundi belum sedar akan perkara yang telah berlaku ini. Walaupun BN ditolak di Pulau Pinang, rata-rata penyokong atau pengundi Melayu yang lain lebih berharap kepada PAS kerana masih ada Melayu walaupun ianya pembangkang. Senario ini belum dilihat dengan jelas oleh penyokong atau pengundi fanatik di Permatang Pauh. PAS juga adalah salah satu parti di dalam Pakatan Rakyat tetapi kenapa tiada kerusi TKM Pulau Pinang untuknya. Inilah persoalan yang membelenggu difikiran.

Melalui Pilihanraya Kecil Permatang Pauh P44, banyak persoalan yang timbul. Antaranya ialah :

1. Kenapa Anwar Ibrahim begitu taksub atau ‘tergila-gila’ untuk menjadi Perdana Menteri?

2. Siapakah penaja untuk PKR sewaktu kempen pilihanraya berlangsung? Apakah dasar perjuangan untuk bangsa Melayu di mata PKR? Dari mana datangnya wang saguhati PKR untuk penyokong atau pengikut-pengikutnya yang berkerja sewaktu kempen dan pilihanraya? SPR dikalangan pembangkang? Adakah wang ini datangnya dari AS atau petualang-petualang lain? Sekiranya wang Anwar Ibrahim, tak kan Anwar sebegitu kaya? Adakah rasuah diamal olehnya sewaktu dia dalam BN?

3. Sejauhmana perjuangan Anwar Ibrahim untuk bangsa Melayu? PKR parti campuran, tidak mungkin hak dan keistimewaan Melayu dibincangkan.

4. Kenapa Anwar mengelak daripada mengangkat sumpah berikutan kes liwatnya?

5. Dimanakah semangat juang remaja dan kanak-kanak Melayu apabila sanggup mengibar bendera-bendera DAP? Sedangkan DAP amat anti-Melayu dan mahukan keistimewaan Melayu dibahagi sama rata dengan mereka di samping menolak Islam sebagai agama rasmi negara.

6. Dalam kerajaan yang akan dibentuk oleh Anwar Ibrahim pada 16 Sepetember 2008, TPM nya adalah dari DAP. Apa akan terjadi sekiranya hayat Anwar tidak panjang? Siapakah yang akan teraju negara?

7. Anwar mendakwa 30 Ahli Parlimen BN akan lompat parti. Tidakkah Anwar terfikir, bagaimana pula sekiranya Ahli Parlimen PKR dari kaum Cina dan India lompat parti dan masuk DAP? Berapa kerat Melayu yang akan tinggal dalam PKR?

Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, Melayu akan ternganga dan akhirnya merintih di tanah tumpah darah sendiri. Untuk Anwar Ibrahim, jangan sampai saudara digelar ‘Pengkhianat Bangsa’ atau ‘Tali Barut’ suatu hari nanti. Kepada semua pembaca blogs ini, renung-renungkan dan fikir-fikirkan perkara ini dan hayatilah bibit-bibit lirik ini :

Anak Kecil Main Api
Terbakar Hatinya Yang Sepi
Airmata Darah Bercampur Keringat
Bumi Dipijak Milik Orang

Nenek Moyang Kaya Raya
Tergadai Seluruh Harta Benda
Akibat Sengketa Sesamalah Kita
Cinta Lenyap Di Arus Zaman

Indahnya Bumi Kita Ini
Warisan Berkurun Lamanya
Hasil Mengalir Ke Tangan Yang Lain
Pribumi Merintih Sendiri

Masa Depan Sungguh Kelam
Kan Lenyap
Peristiwa Semalam
Tertutuplah Hati Terkunci Mati
Maruah Peribadi Dah Hilang

Kini Kita Cuma Tinggal Kuasa
Yang Akan Menentukan Bangsa
Bersatulah Hati Bersama Berbakti
Pulih Kembali Harga Diri

Kita Sudah Tiada Masa Majulah Dengan Gagah Perkasa
Jangan Lalai Teruskan Usaha
Melayu

Kan
Gagah Di Nusantara (3x)

Adakah ini kesudahan kita?



Khamis, 28 Ogos 2008.

No comments:

Post a Comment