Monday, April 13, 2009

TEKNIK CGI : FILEM CICAKMAN (2006)

Pengarah filem sci-fi selepas zaman kegemilangan Aziz M. Osman ialah Yusry Abd. Halim atau lebih popular dikenali sebagai Yusry KRU. Selepas popular sebagai penyanyi (berkumpulan dan solo) dan pelakon filem, Yusry KRU membuat kejutan dengan mengarah filem sulung yang berjudul Cicakman (2006) dengan kos pembikinan RM 2 juta. Cicakman (2006) merupakan filem pertama di Malaysia yang menggunakan teknik CGI hampir 90% sewaktu pembikinannya.


Teknik CGI telah diperkenalkan melalui filem Westworld (2D CGI) pada tahun 1973, dan filem Futureworld (1976) yang merupakan sekuel kepada Westworld (1973) merupakan filem pertama yang mengunakan kesan 3D CGI, seterusnya diikuti dengan filem Star Wars (1977) (www.wikipedia.com). Berdasarkan kepada sejarah CGI, CGI telah berkembang di Hollywood sejak 33 tahun dahulu. Di Malaysia, aplikasi teknik CGI terhadap filem pertama kalinya diperkenalkan melalui filem Cicakman (2006). Yusry KRU telah menggunakan kelangkapan canggih termasuk perisian Maya dan 3D-Max (Roslen Fadzil, 24 September 2004).


Secara ringkasnya, filem Cicakman (2006) arahan Yusry KRU mengisahkan seorang pemuda bernama Hairi (lakonan Saiful Apek) yang bekerja di makmal Profesor Klon. Hairi memiliki kuasa cicak yang boleh melekat pada dinding, menggunakan lidah seperti lidah cicak dan apabila luka, lukanya cepat sembuh selepas Hairi meminum minuman dan tertelan cicak yang jatuh ke dalam minumannya tanpa dia menyedari insiden itu. Seperti Superhero yang lain, Cicakman juga mempunyai kelemahan apabila berhadapan dengan gelang getah. Filem Cicakman (2006) akan menemui penonton pada 7 Disember 2006 dengan barisan pelakon popular seperti Saiful Apek (Hairi/Cicakman), Fasha Sandha (Tania), Yusry KRU (Danny), Aznil Hj. Nawawi (Profesor Klon), AC Mizal dan Adlin Aman Ramli (Mutan Profesor Klon) serta ramai lagi. Cicakman (2006) adalah sebuah filem aksi komedi superhero yang diterbitkan oleh KRU Film Sdn. Bhd. disamping Johan Lucas yang bertindak sebagai penerbit dan Norman KRU sebagai penerbit eksekutif.


Berbalik kepada CGI, CGI adalah singkatan daripada Computer-Generated Images (CGI) sebagaimana yang direka dan diperkenalkan oleh dua graduan University of Utah iaitu Edwin Catmull dan Fred Park. Mereka adalah karyawan yang bertanggungjawab disebalik tabir pembikinan filem Westworld (1973) dan Futureworld (1976) (www.wikipedia.com). CGI diguna atau dipraktikan dalam pembikinan filem, program televisyen, pengiklanan dan percetakan, animasi serta permainan video, juga ilustrasi kejuruteraan dan penggambaran saintifik.


Computer-Generated Images atau CGI adalah merupakan satu penerapan dalam bidang computer graphics (3D computer graphics) untuk menghasilkan kesan-kesan khas melalui penggunaan teknologi komputer. Aplikasi teknik CGI digunakan untuk memberi kesan khas kerana ketinggian kualitinya dan penggunaan kesan khas itu dapat dikawal dari segi penggunaannya. Grafik komputer 3D ini juga adalah salah satu bidang kajian dalam bidang grafik komputer yang memanipulasikan model-model berangka atau objek tiga dimensi melalui komputer dengan teknik mencipta objek dan kemudiannya objek itu boleh diubahsuai dan digerakan. Istilah grafik komputer 3D juga digunakan bagi merujuk kepada imej-imej yang dihasilkan melalui model-model tersebut. Teknik atau kaedah perisian CGI juga menggunakan alat pengecatan komputer yang standart untuk mengecat bebingkai-bebingkai tunggal sebelum ianya digabungkan dan disimpan dalam output berbentuk video (www.wikipedia.com).


Merujuk kepada filem Cicakman (2006) arahan Yusry KRU, objek-objek yang direka dan digerakan melalui perisian atau teknik ini jelas dipertontonkan sewaktu babak superhero (merujuk kepada Cicakman) menjelir lidah dengan panjang sewaktu dalam tahanan Profesor Klon dalam bilik getah. Begitu juga dengan objek kipas yang menyedut salah seorang Mutan Profesor Klon sewaktu babak di mana superhero bergelut dengan Profesor Klon dan Mutan Profesor Klon.


Transisi dan kesan-kesan khas yang lain seperti morphing digunakan bagi pengubahsuaian imej-imej video yang sedia ada. Sebagai contoh, dalam filem Cicakman (2006) lokasi yang sebenar tetap digunakan melalui babak di mana sebuah lori terbalik. Lori berkenaan tidak wujud sewaktu penggambaran. Tetapi setelah teknik chromakey diaplikasikan melalui penggunaan green screen sewaktu penggambaran, objek lori yang direka dapat ditampal pada video berkenaan dan dilihat seolah-olah lori itu benar-benar kemalangan. Begitu juga dengan bangunan-bangunan yang terdapat di Putarajaya, visual bangunan diambil dan visual itu kemudiannya diubahsuai untuk menampakkannya seperti sebuah kota masa depan sepertimana yang Yusry KRU gambarkan untuk bandar Metrofulus melalui filem ini dengan mempunyai landasan keretapi ditengah-tengah bandar. Sama juga dengan shot sewaktu Hairi duduk di atas sebuah bangunan dengan memperlihatkan suasana Kota Metrofulus di waktu malam. Penggunaan green screen digunakan sebagai latar untuk babak ini yang dibuat di dalam studio.


Sama juga seperti set di mana pekerja-pekerja makmal lalu-lalang, pengubahsuaian set secara grafik direka dan diaplikasikan ke atas lokasi atau imej sedia ada bagi menampakkannya seolah-olah set itu dibina. Ketika saya bertanyakan soalan kepada Yusri KRU berkenaan pergerakan pelakon dalam ruang set bagi membolehkan teknik CGI diaplikasi dan diguna pakai sewaktu Wacana The Making Of dan Tayangan Promosi Filem Cicakman yang berlangsung di Dewan Sri Budiman, UiTM (18 September 2006), Yusri KRU menjawab dengan menyatakan bahawa ruang set berkenaan di tanda dan para pelakon yang berada di dalam ruang likup set itu diberi penjelasan dan taklimat mengenai tanda yang akan mewakili objek yang akan direka melalui kesan khas komputer grafik bagi membolehkan pelakon dapat berimaginasi seolah-olah objek berkenaan wujud ketika itu, walhal sewaktu pembikinannya tiada objek diletakkan di set berkenaan. Kawasan set yang ditanda kemudiannya akan direka secara grafik melalui teknik CGI sewaktu proses pasca produksi. Mood pelakon hendaklah real bagi membolehkan objek yang direka kelihatan benar-benar wujud apabila ditonton.


Penggunaan storyboard adalah penting untuk filem-filem yang menggunakan teknik CGI kerana storyboard digunakan sebagai rujukan secara detail melalui pengaplikasian ini. Konsep komputer animasi 3D juga diaplikasikan melalui filem Cicakman (2006) dengan paparan montaj animasi 3D, komik Cicakman pada pembukaan filem ini. Tekniknya ialah dengan ciptaan karikatur komik yang boleh diubahsuai dan digerakkan seterusnya animasi 3D yang lengkap terhasil.


Untuk pengaplikasian teknik CGI dalam filem, format video yang digunakan ialah high definition (HD) video. Pete Shaner dan Gerald Everett Jones (2005) menyatakan bahawa :


The video format nearly like 35mm (theatrical film is high definition (HD) video, which has four times as much detail as DV. There’s little doubt that, for its economy and high image quality, HDV will be the prefered format for low-budget future filmmakers.


Kita tidak boleh membandingkan Cicakman (2006) dengan produksi Hollywood kerana bajet mereka memang pukal dan teknologi yang digunakan tercanggih dan terlalu ke depan. Namun dengan mengambil kira bajet RM 2 juta untuk Cicakman (2006) kita seharusnya boleh berbangga kerana finishing filem ini kelihatan seperti filem berbajet RM 10 juta (Roslen Fadzil, 24 September 2006). Penggunaan format video HD memberi gambaran bahawa aplikasi dan teknik CGI yang digunakan untuk filem Cicakman (2006) turut berjaya walaupun berbajet rendah.


CGI berjaya diaplikasikan oleh Yusry untuk lebih 500 shots dalam Cicakman yang turut menggunakan kamera High Definition (HD). Shot on true HD, and the entensive use of CGI ,including 40% of content shot on green screen.


Cicakman promises the viewers a unique and memorable film. (www.cicakman.com)


Selepas beres penggambaran selama 35 hari tahun lalu, Cicakman kemudian diselitkan dengan special effects, penataan skor muzik dan dan kesan bunyi (sentuhan Edry KRU).


The elaborate production of the movie featured the involvement of a whole compendium of production components, including Motion Control, Costume design, stunts and rigging, scenic painting, set design, and host of other eye-opening elements, as well as 3D animation, compositing and a rousing music score. (www.cicakman.com)


Dari sini filem itu dibawa ke Siam Development Studio di Bangkok bagi menjalani proses colour grading serta penataan bunyi Dolby Surround 5.1, selain proses Kine Transfer iaitu satu proses di mana format HD dipindahkan kepada filem (Roslen Fadzil, 24 September 2006).


Secara kesimpulannya, penghasilan filem Cicakman (2006) yang menggunakan 90% teknik CGI dilihat sebagai pembaharuan yang berlaku dalam industri perfileman Malaysia. Percubaan berani daripada Yusry KRU dilihat berjaya dan beliau merealisasikan filem aksi komedi superhero dengan identiti sendiri walaupun pembikinannya ada persamaan dengan filem-filem Barat seperti Spiderman, Batman dan Superman. Pengisian teknik CGI ini secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa Sinema Malaysia mengalami pembaharuan dengan aplikasi teknologi berkomputer serba canggih yang berupaya mengubah wajah atau cara pembikinan sesebuah filem.


19 Oktober 2006.

No comments:

Post a Comment