Sunday, April 12, 2009

NO. KEAHLIAN 001 : TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD KEMBALI KE GAGANG

Bagai sirih pulang ke gagang, itulah ungkapan yang sesuai untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad. Setelah lebih kurang setahun meninggalkan UMNO, beliau kini kembali kepangkuan parti yang pernah diperjuangkannya dulu.

Saya menyifatkan Dr. M sebagai seorang yang 'kering hati'. Jika beliau membuat keputusan beliau tidak akan berganjak dan berdiri dengan keputusannya biarpun ramai yang mengkritik hebat keputusannya. Sifat 'kering hati' perlu ada dalam setiap hati pemimpin terutamanya siapa yang bergelar Perdana Menteri. Ini kerana, PM adalah nakhoda yang bakal mengemudi kapalnya. Jika anak-anak kapal ingkar / malas dan sebagainya, mereka perlu menerima hukuman demi menjaga anak-anak kapal yang lain. Sifat ini juga dapat mengelakkan diri daripada dipengaruhi oleh idea lain.

Kemasukkan semula Tun ke dalam UMNO sememangnya dinantikan. Kini, Tun mengotakan janjinya. Ramai kenalan saya yang mengatakan bahawa Tun sebagai 'muka tak malu masuk balik UMNO' setelah beliau dengan lantang mengkritik Tun Abdullah sewaktu Tun Abdullah menjawat jawatan PM.

Saya tidak memihak kepada Tun, dan tidak pula mengkeji Abdullah. UMNO dan BN seharusnya melantik Tun sebagai Penasihat UMNO dan BN sebaik sahaja Tun melepaskan jawatan PM Ke-4. Ini kerana Dr. M mempunyai idealism baru yang bernas untuk kegunaan masa hadapan. Tun Abdullah sepatutnya berbuat demikian. Lihat apa yang telah jadi kepada UMNO dan BN setelah saban hari rakyat menolak parti ini.

Kita patut bersyukur kerana Tun Dr. M masih sihat. Sesekali terfikir, ada baiknya Tun Mahathir lepas jawatan awal. Sekiranya beliau meninggal dunia dalam jawatan, apa akan jadi pada agama, bangsa dan negara. Abdullah yang 5 tahun sebagai PM telah macam-macam jadi. Nasihat Tun tak mahu dengar, tolak Tun untuk majlis tertentu. Sekarang, kesusahan dan kepayahan bakal ditanggung oleh DS Najib.

Sekurang-kurangnya pendapat/kritikan/nasihat Dr. Mahathir diambil perhatian. Biarlah orang kata Dr. M 'nyanyuk' tetapi mana ada lagi negarawan yang bernas akalnya.

Pulangnya Dr. M dalam UMNO diharapkan akan membawa pembaharuan dan kegemilangan UMNO dikembalikan. Saya amat pasti bahawa Tun M akan berbuat sesuatu untuk bangsanya. Walaupun sewaktu pemerintahan Tun sebagai PM mendapat cacian dan kejian, tetapi Malaysia telah cemerlang dengan pacuan Tun.

Saya amat mengalu-alukan penyertaan semula Tun dan isteri dalam UMNO. Saya berharap agar DS Najib memberi peluang kepada Tun untuk memberi idea dan cadangan bagi memulihkan UMNO dan BN, disamping memulihkan keadaan ekonomi Malaysia.


Rabu, 8 April 2009.

1 comment:

  1. aku sokong apa yg hg tulis lam blog hg ni....HIDUP TUN MAHATHIR!!!

    ReplyDelete